mutakhir

Perut terburai dirodok adik

Oleh Mohd Roji Kawi

BEREBUT kawasan mengambil buah kelapa sawit, lelaki warga Indonesia bertindak di luar jangkaan apabila menikam abangnya dalam kejadian di sebuah ladang di Pasai Siong, Sibu semalam.

Kejadian itu menyebabkan perut mangsa, Irwan Maseng, 31, terburai namun dia ditemui selamat.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, mangsa yang bekerja sebagai pemungut buah kelapa sawit itu ditemui terbaring di kawasan ladang pada 10 pagi.

“Penyelia ladang itu yang membuat rondaan rutin menemui mangsa yang dipangku dua rakannya dalam keadaan parah di bahagian perut.

“Penyelia itu kemudiannya menghubungi penolong pengurus ladang untuk meminta bantuan kenderaan,” katanya.

Stanley berkata, mangsa dihantar ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan penyelia itu, dia dimaklumkan pekerja bahawa mangsa bergaduh dengan adiknya selepas mereka berebut kawasan mengambil buah sawit.

“Sebaik menerima laporan, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sibu bergegas ke lokasi namun suspek sudah melarikan diri menggunakan motosikal.

“Mangsa kini dirawat di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) dan keadaannya stabil selepas menjalani pembedahan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan polis kini giat mengesan suspek yang dikenali Riswan Jumaseng, 20.

Disiarkan pada: April 28, 2019 @ 3:20pm
d