mutakhir

Pelancong Malaysia disahkan meninggal dunia di Taiwan

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

RAKYAT Malaysia yang cedera akibat runtuhan batu ketika melawat Taroko Gorge National Park di Taiwan 18 April lalu meninggal dunia lewat malam tadi.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Choo Yip Chean, 44, menerima rawatan intensif di hospital negara itu sejak 18 April lalu, susulan kejadian gempa bumi di Hualien, Taiwan.

Katanya, beliau sudah bercakap dengan keluarga mendiang untuk menzahirkan simpati dan ucapan takziah atas kehilangan berkenaan.

“Kementerian Luar melalui Pusat Dagangan dan Persahabatan Malaysia di Taipei pada masa ini membantu keluarga mendiang mengenai prosedur diperlukan.

“Justeru, doa dan ingatan kepada keluarga dan rakan mendiang dalam mengharungi waktu sukar ini,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, kementerian juga berharap kerjasama daripada pihak media dan orang awam menghormati perasaan keluarga mendiang.

Sebelum ini, Kementerian Luar mengesahkan seorang pelancong rakyat Malaysia cedera berikutan gempa bumi berskala 6.1 dan 4.1 Richter yang melanda wilayah Hualien, Taiwan, masing-masing pada 1.01 dan 1.17 tengah hari waktu tempatan.

Mangsa dilaporkan cedera akibat runtuhan batu ketika melawat Taroko Gorge National Park dan menerima rawatan di Hospital Hualien Tzu Chi.

Disiarkan pada: April 28, 2019 @ 4:17pm
d