mutakhir

Kumpul data, nilai tahap keretakan

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

KERETAKAN pada bangunan Blok F, Pangsapuri Taman Keramat Permai, Ampang, masih dalam fasa penilaian dan pengumpulan data oleh perunding dilantik.

Ketua Pengurusan Bencana Selangor, Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata, pihaknya sedang mengumpul data berkenaan bagi melihat sama ada wujud keretakan baru atau tidak.

“Proses berkenaan yang bermula semalam dan akan kemas kini setiap dua jam.

“Di pusat pemindahan sementara diaktifkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Keramat pula menunjukkan angka peningkatan dan penurunan berlaku,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, ia disebabkan ada di antara penduduk yang tinggal dengan saudara dan rakan di kawasan sekitar.

Ketika ini, seramai 38 penduduk daripada sembilan keluarga yang menghuni flat itu berada di pusat pemindahan sementara SMK Taman Keramat, manakala baki 184 penghuni lagi dipercayai tinggal di rumah saudara mara di kawasan berhampiran.

Kelmarin, seramai 222 penghuni bangunan empat tingkat Blok F di Flat Taman Keramat Permai diarahkan berpindah susulan keretakan di dinding bangunan berkenaan selepas hujan lebat.

MPAJ mengesyorkan semua penghuni blok mengosongkan bangunan dan pihak polis akan menguatkuasakan kawalan keselamatan supaya tiada penduduk berada di blok berkenaan memandangkan keretakan masih aktif.

Pemantauan diteruskan pelbagai agensi termasuk Jabatan Kerja Raya, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Pangsapuri berkenaan dibina pada 1985 oleh pemaju PKNS yang menempatkan 37 keluarga membabitkan 222 individu.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dalam lawatannya semalam mengesahkan bangunan berkenaan mengalami keretakan teruk dan dikesan condong ke satu arah.

“Pemerhatian secara mata kasar mendapati bangunan ini condong ke satu arah iaitu di bahagian bucu. Kemungkinan berlaku pergerakan tanah.

“Keretakan di tingkat atas bangunan itu agak besar dan memerlukan pemerhatian serius,” katanya.

Berita berkaitan

'Retak sampai nampak rumah bawah'

'Mula pemeriksaan lanjut'

'Hidup dalam ketakutan'

Disiarkan pada: April 28, 2019 @ 6:20pm
d