mutakhir

BTR bakal miliki Teknopolis Kesihatan UKM

Oleh Mohamad Hussin

BANDAR Tun Razak (BTR), Kuala Lumpur bakal mempunyai hub kesihatan baru apabila Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan membangunkan Teknopolis Kesihatan UKM bersebelahan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM-UKM).

Ahli Parlimen BTR Datuk Kamaruddin Jaafar berkata, projek berkenaan adalah inisiatif pembangunan yang menggabungkan akademik, perubatan, kesihatan, penyelidikan, industri, teknologi, komersial dan komuniti.

Beliau berkata, projek itu akan menambah baik mutu perkhidmatan kesihatan negara, membawa inovasi baru, meningkatkan kecemerlangan kesarjanaan pakar UKM selain dapat menarik pakar dan penyelidik serata dunia.

“Projek Teknopolis Kesihatan UKM ini dijangka mampu menjana pendapatan baru kepada UKM dan memberi impak kepada ekonomi negara serta mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Perancangan projek ini memberi peluang kepada Kampus Kuala Lumpur (KKL) UKM menguar-uarkan perancangan untuk menjadikan BTR sebagai hub kesihatan dengan mewujudkan bandar Teknopolis Kesihatan UKM alaf baru.

“Sudah semestinya pembangunan besar yang akan dilaksanakan ini akan membawa limpahan ekonomi dan peluang pekerjaan banyak khususnya dalam rantaian sektor kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan BTR Sihat di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semalam.

Hadir sama Timbalan Pengarah (Jaringan, Komunikasi Korporat dan Teknopolis Kesihatan) Kampus Kuala Lumpur UKM, Prof Sabarul Afian Mokhtar, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk BTR Azman Abidin dan Pengarah Program BTR Sihat Aminuddin Mohamad.

Kamaruddin yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan berkata, maklumat pembangunan itu penting bagi merancang penyediaan tenaga kerja yang sesuai dengan kehendak pasaran untuk masa depan.

“Projek ini nanti akan membantu kita menyelesaikan banyak masalah ekonomi dan sosial.

“Saya sedia maklum kes penagih dadah amat tinggi di kawasan ini dan dengan wujudnya peluang pekerjaan nanti dapat mengurangkan gejala berkenaan.

“Program BTR Sihat ini selari dengan tema iaitu ‘Sihat Fizikal Sihat Mental’ dapat memberi kesedaran, maklumat dan menjadi titik tolak kepada peningkatan kualiti kesihatan penduduk BTR.

“Penduduk BTR perlu mengambil berat terhadap kesihatan masing-masing dengan melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala dan menerapkan gaya hidup sihat,” katanya.

Sementara itu, Prof Sabarul Afian berkata, pihaknya akan membangunkan Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK-UKM) khususnya bagi mereka yang berusia 16 tahun ke bawah mendapatkan rawatan pertama di negara ini.

Katanya, hospital khas untuk kanak-kanak ini akan dibuka tahun depan yang memfokuskan kesihatan dan rawatan kanak-kanak di BTR.

“Semua pakar kanak-kanak dari HCTM-UKM akan ditempatkan di hospital khas ini yang akan beroperasi pertengahan tahun depan,” katanya.

Disiarkan pada: April 28, 2019 @ 7:03pm
d