mutakhir

Lari dari madrasah takut didenda

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

TIGA pelajar Madrasah Tahfiz Al-Quran Darussyifa’ di Kampung Seri Repah, Tampin dilaporkan hilang dari pusat pengajian sejak lima hari lalu.

Ketiga-tiga pelajar berusia 13 dan 14 tahun itu dikatakan melarikan diri kira-kira 2 pagi berikutan bimbang didenda guru kerana menggunakan telefon bimbit.

Pengetua madrasah berkenaan, Suhaimi Othman berkata, pada awalnya lima pelajar merancang melarikan diri, namun hanya tiga berbuat demikian.

Mengikut perancangan awal mereka, katanya, kelima-lima pelajar terbabit mahu mencari kerja di Kuala Lumpur dan bangun seawal 2 pagi untuk melarikan diri.

“Namun, dua lagi pelajar membatalkan hasrat kerana yakin tidak diterima kerja di mana-mana tempat.

“Bagaimanapun tiga pelajar terbabit meneruskan niat untuk ke Kuala Lumpur,” katanya.

Suhaimi berkata, kejadian itu pertama kali berlaku sepanjang 20 tahun pusat tahfiz itu beroperasi.

“Kami bimbang keadaan tiga pelajar ini kerana wang yang boleh disimpan dalam poket hanyalah sekitar RM10 hingga RM15.

“Pihak madrasah berharap mereka dapat ditemui dan setakat ini ibu bapa sudah membuat laporan polis,” katanya.

Bapa pelajar, Mahathir Mat Lazim, 43, berkata, dia dimaklumkan guru mengenai kehilangan anaknya, Umair Fayed, 13, lalu membuat laporan di Balai Polis Bahau, Jempol, 10.28 pagi pada Isnin lalu.

“Saya amat bimbang memikirkan keadaan anak kerana sudah lima hari dia gagal dikesan.

“Saya dimaklumkan kehilangan anak apabila mereka tidak muncul ketika solat berjemaah,” katanya.

Menurut Mahathir, anaknya memasuki tahfiz berkenaan pada akhir Februari lalu.

“Saya menerima maklumat mengatakan anak bersama dua rakan dilihat mengaji di Masjid Damansar Damai, Petaling Jaya, Selangor pada 16 April lalu.

“Sebaik saya ke sana, mereka tidak kelihatan,” katanya yang menetap di Bandar Tasik Kesuma, Selangor.

Mahathir berkata, sesiapa yang ternampak anak keempat daripada enam beradik itu diminta menghubunginya di talian 011-5623 1838.

Disiarkan pada: April 28, 2019 @ 7:20pm
d