mutakhir

Kerajaan tidak cari dalil kegagalan

Oleh Mohd Sabran Md Sani

KERAJAAN tidak mencari dalil untuk menjawab tuduhan kegagalan memenuhi janji dan manifesto tetapi hakikatnya keupayaan dan sumber kewangan negara ketika ini terbatas.

Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, buat masa ini kerajaan sukar melaksanakan segala kehendak rakyat kerana keupayaan dan kemampuan masih terhad dan terbatas.

“Hakikatnya kita mewarisi satu kerajaan yang hampir bankrap. Rakyat pilih kita sepanjang kita menjadi bankrap.

“Rakyat pilih kita supaya melaksanakan program kebajikan, membangunkan ekonomi yang jelas, memang kita nak buat.

“Tetapi sumber (kewangan) agak terhad menyebabkan kita terpaksa menyusun mengikut keutamaan serta mengelak projek tidak sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Bersantai Bersama Pemimpin Sempena Pelancaran Buku Bersatu Mulanya Di Sini di Johor Bahru hari ini.

Muhyiddin berkata, tidak adil jika menyifatkan BERSATU dan Pakatan Harapan (PH) tidak berbuat apa-apa.

Katanya, kerajaan PH membantu isu-isu besar terutama dalam menyelamatkan Tabung Haji (TH) dan FELDA yang berdepan masalah kewangan.

“Yang terbaru membabitkan wang besar terpaksa digunakan untuk menyelamatkan TH dan FELDA.

“Itu terbukti keupayaan kita walaupun dalam berdepan masalah kewangan untuk menyelesaikannya.

“Berapa bilion menyelamatkan TH? Berpuluh bilion. Berapa bilion menyelamatkan FELDA? Lebih RM6.1 bilion malah bukan kecil bilangannya,” katanya.

Hakikatnya, menurutnya, jumlah wang besar seperti itu boleh digunakan untuk skim bantuan, kebajikan dan lain-lain selain masih diharapkan rakyat.

“Disebabkan ini adalah institusi yang mendokong perjuangan rakyat Malaysia terutama orang Melayu, kita harus berbuat sesuatu,” katanya.

Beliau berkata, PH diuji untuk pilihan raya umum (PRU) lima tahun bermula sekarang.

“Sekarang hampir setahun PH dipilih untuk meneraju kerajaan dan saya tahu dan maklum bila turun ke bawah ramai tidak puas hati dan senang.

“Ada yang menyatakan sokongan terhadap PH menurun sejak menang dan membentuk kerajaan hampir setahun dan bagi saya ini satu pengajaran,” katanya.

Disiarkan pada: April 28, 2019 @ 8:28pm
d