mutakhir

Penjual aiskrim maut dilanggar

Oleh Siti Rohana Idris

SEORANG penjual aiskrim maut selepas dilanggar kereta di Pasir Pekan, Tumpat, hari ini.

Mangsa, Ahmad Samosa, 60, yang juga warga Thailand meninggal dunia di tempat kejadian selepas terjatuh dari motosikalnya sebelum dilanggar kereta dari arah sama.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, kemalangan berlaku pada 12 tengah hari apabila mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Y100 dan membawa peti aiskrim dari arah Kota Bharu menghala ke Wakaf Bharu.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal ditunggang mangsa di lorong kiri hilang kawalan lalu terjatuh di laluan di sebelah kanan.

“Kereta Perodua Kancil yang berada di laluan tengah gagal mengelak motosikal mangsa dan terus melanggar bahagian belakang motosikal terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ab Rashid berkata, mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat, manakala pemandu kereta tidak cedera.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: April 28, 2019 @ 8:34pm
d