mutakhir

'Terima kasih pembayar zakat'

Oleh Hairulazim Mahmud

PUSAT Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) berjaya mengutip zakat harta RM149 juta bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Ahmad Shukri Yusoff berkata, jumlah itu adalah peningkatan tiga peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Kami harap supaya bertambah individu yang terdiri daripada golongan profesional khususnya membuat pembayaran zakat supaya lebih ramai asnaf dapat disantuni dan dibela tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam KASIH Entiti Group Sdn Bhd dan PPZ-MAIWP Bersama Pengamal Perubatan hari ini.

Majlis berkenaan juga sempena pelantikan rasmi KASIH Holdings Sdn Bhd sebagai ejen rasmi PPZ-MAIWP.

Ia disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh.

Turut hadir Pengarah Eksekutif KASIH Entiti Dr Mohd Zaqrul Razmal Mohd Podzi.

Kerjasama rasmi KASIH dan PPZ-MAIWP adalah untuk mewujudkan Program Hospital KASIH Kebangsaan (NKHP) iaitu pusat perubatan pakar berlandaskan wakaf, zakat pertama negara.

Ahmad Shukri berkata, KASIH Holdings Sdn Bhd adalah ejen PPZ-MAIWP yang ke-33.

“Ia adalah hospital pertama yang dilantik sebagai ejen zakat.

“Saya pasti ramai yang sedia maklum PPZ-MAIWP juga mempunyai satu skim yang dinamakan Skim Wakalah iaitu dasar pengembalian wang zakat kepada entiti seperti individu, syarikat atau organisasi, majikan serta institusi pengajian tinggi,” katanya.

Beliau berharap dengan lantikan itu dapat membantu PPZ-MAIWP mengutip zakat dalam kalangan doktor atau pakar perubatan di Wilayah Persekutuan.

Disiarkan pada: April 28, 2019 @ 10:26pm
d