mutakhir

Terima kasih semua

Oleh Mohd Sabran Md Sani

JOHOR BAHRU: “Terima kasih, keprihatinan anda semua membolehkan jenazah Mohmad Saat Jaafar, 61, selamat dikebumikan,” kata sukarelawan amalteam, Nor Afizan Ayub.

Nor Afizan atau Afiz berkata, urusan pengebumian pemetik buah di Melbourne, Australia yang meninggal dunia Jumaat lalu, diuruskan selepas rakyat Malaysia memberikan sumbangan selain bantuan rakan sukarelawan di negara itu, Firdaus Mohamad Rozlan.

Menurutnya, arwah yang dikenali sebagai Pak Saat dilahirkan pada 1958 meninggal dunia pada tarikh kelahirannya, 26 April lalu selepas rebah dan mengalami strok di sebuah ladang di Melbourne.

“Alhamdulillah, jenazah selesai dimandi, dikafankan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Preston, Melbourne.

“Kos pengebumiannya berjumlah AU$10,000 (RM30,000) dan setakat ini kutipan belum mencukupi (hanya) AU$8,000 atau RM24,000 saja,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, walaupun dana diperlukan kurang AU$2,000 atau RM6,000, sebahagian besar kos pengurusan jenazah mendapat bantuan umat Islam negara berkenaan.

Katanya, pada masa sama, amalteam akan membantu mendapatkan derma orang ramai bagi kos pengebumian dan kos lain.

“Terima kasih tidak terhingga kepada wakil amalteam, Mohamad Firdaus yang bertanggungjawab membantu urusan jenazah rakyat Malaysia di sana,” katanya.

Afiz menerusi FB miliknya Jumaat lalu berkongsi status memohon bantuan orang ramai meringankan beban pengebumian Pak Saat.

Dalam perkongsiannya, kos diperlukan bagi menguruskan jenazah dianggarkan AU$10,000 (RM30,000) dan berharap ia mendapat bantuan ramai pihak menghulurkan sumbangan ikhlas.

Afiz berkata, kematian pemetik buah yang berasal dari Ulu Tiram, dekat sini, dikongsikan kenalannya di Australia.

“Kebetulan amalteam terbabit dalam urusan membantu membawa pulang jenazah rakyat Malaysia di Australia. Dalam kejadian itu, arwah Pak Saat dikatakan terjatuh dan mengalami strok secara tiba-tiba sebelum dikejarkan ke Hospital Royale Melbourne, Australia,” katanya.

Disiarkan pada: April 29, 2019 @ 7:30am
d