mutakhir

Penduduk kampung anjur pertandingan 'Beyblade'

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

MINAT dan kegilaan kanak-kanak di Kampung Paya Nibong, Ayer Tawar di Manjung bermain gasing moden ‘Beyblade’ hampir setiap petang memberikan idea kepada pemuda kampung itu menganjurkan pertandingan permainan berkenaan di Dewan Orang Ramai Kampung Paya Nibong, semalam.

Jeritan penyokong dan ibu bapa juga memeriahkan suasana pertandingan itu yang menarik lebih 80 penyertaan membabitkan kanak-kanak dan remaja kampung berkenaan serta ladang berhampiran.

Penganjur pertandingan, Ahmad Mazlan Isa berkata, Beyblade menjadi kegilaan kanak-kanak ketika ini bukan sahaja di Kampung Paya Nibong, malah di seluruh negara.

“Selalu saya perhatikan di mana sahaja Beyblade menjadi kegilaan ramai, dan di kampung kami hampir setiap petang anak-anak di sini akan bermain permainan ini.

“Jika zaman kita dahulu, kita bermain gasing tradisional dan ketika ini kanak-kanak generasi baru bermain gasing moden Beyblade yang mempunyai keunikan tersendiri,” katanya.

Menurutnya, pertandingan itu berkonsep tertutup, namun sambutan yang diterima sangat menggalakkan dan bukan sahaja lelaki, malah peserta perempuan turut menyertainya sehingga menarik minat kanak-kanak dari luar kampung mereka.

“Sambutan memang sangat menggalakkan, namun kekangan peruntukkan dan pengalaman, kami terpaksa menolak penyertaan luar dan menganjurkan hanya untuk warga kampung sahaja sekali gus memberikan kelainan untuk aktiviti kampung kali ini.

“Kanak-kanak sangat menyukainya dan teruja dengan pertandingan pertama ini dan kami mempertandingkan tiga kategori iaitu tadika enam tahun ke bawah, tahap satu tujuh hingga sembilan tahun dan tahap dua 10 hingga 15 tahun,” katanya.

Bapa, Riduan Ismail, 38, berkata, Beyblade menjadi hobi baru dua anak lelakinya, Muhammad Haziq, 14, dan Muhammad Afiq Danial, 4, sejak lebih seminggu lalu.

Katanya, dia tidak menghalang hobi baru anaknya kerana permainan itu mengamit memorinya ketika masih kecil biarpun gasing yang digunakan lebih moden dan aktiviti itu juga lebih berfaedah untuk masa lapang.

“Hobi ini menjadi kegilaan kanak-kanak ketika ini termasuk dua anak lelaki yang turut teruja dan tidak melepaskan peluang menyertai pertandingan ini.

“Sejak anak mula minat dengan permainan ini, saya memperuntukkan lebih RM100 selain turut membeli sekotak set lengkap Beyblade yang mempunyai 8 gasing termasuk empat jenis ‘luncher’,” katanya.

Disiarkan pada: April 29, 2019 @ 10:43am
d