mutakhir

Geng 1804 tak wujud

Oleh Nurul Amanina Suhaini

POLIS menolak dakwaan yang tular sejak kelmarin mengenai pembabitan pelajar sekolah dalam kegiatan kumpulan kongsi gelap dan pengedaran dadah di sekitar Bukit Indah, Iskandar Puteri.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, ia susulan laporan yang diterima daripada lelaki tempatan berusia 34 tahun pada 10.45 pagi, 19 April lalu.

Menurutnya, lelaki itu mendakwa individu tidak dikenali memuat naik gambarnya bersama status menyatakan dirinya adalah pengedar dadah dalam kongsi gelap dikenali Geng 1804 selain memberi suapan kepada anggota polis untuk menutup kegiatan itu.

Katanya, siasatan awal mendapati akaun laman sosial Facebook (FB) atas nama Theva Theva itu memuat naik beberapa kenyataan antaranya ‘sampah masyarakat ini hidup mewah dengan memusnahkan hidup remaja sekolah dengan mengedar dadah dan memaksa menyertai kongsi gelap 1804’.

“Status itu turut menyatakan pengadu memiliki kafe dan pub (kelab malam) di Bukit Indah serta beberapa kedai menjual minuman keras selain status disertakan nama pengadu dan kawannya bernama ‘Sivabalan’.

“Hasil semakan dan siasatan, tidak wujud nama kumpulan 1804 dan pengadu mempunyai kes lampau bersabit Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana bergaduh pada 2017,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Selain itu katanya, polis percaya kes itu berkait rapat dengan isu dalam kalangan ahli kongsi gelap.

“Individu yang membuat laporan bersama dua rakannya berusia 27 dan 29 tahun ditahan reman tiga hari dengan jaminan polis bagi membantu siasatan.

“Pada masa sama, kami masih cuba mengesan suspek yang menyebarkan kenyataan di FB itu,” katanya.

Dzulkhairi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan (Fitnah Jenayah) yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-dua jika sabit kesalahan.

Katanya, kes turut disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan Haram 1966 yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-dua jika sabit kesalahan.

Disiarkan pada: April 29, 2019 @ 12:07pm
d