mutakhir

Polis siasat penganjuran Teh Tarik bersama 4 Putera Mahkota

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sudah membuka kertas siasatan mengikut Akta Hasutan berhubung satu laporan polis dibuat terhadap penganjuran program teh tarik bersama empat Putera Mahkota.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kertas siasatan itu dibuka susulan laporan polis yang diterima.

“Ya, polis memang ada menerima laporan berhubung penganjuran program berkenaan dan buat masa ini siasatan menjurus kepada Akta Hasutan.

“Bagaimanapun, polis akan melihat jika terdapat akta berkaitan mengikut Kanun Keseksaan yang boleh digunakan bagi membantu siasatan berhubung laporan berkenaan,” katanya dalam sidang media ketika Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, hari ini.

Hadir sama Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador; Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim; dan Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ruslan Khalid.

Semalam, Pejabat Raja Muda Selangor menafikan pembabitan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin dalam program yang dipromosikan sebagai ‘Santai Teh Tarik Bersama 4 Putera Mahkota’ oleh UMNO.

Setiausaha Sulit Raja Muda Selangor, Saidatul Asyikin Muhammad Johar dalam satu kenyataan berkata, kesal apabila gambar Raja Muda Selangor diguna tanpa kebenaran rasmi Istana Selangor.

Katanya, rakyat diingatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan maklumat palsu yang mengelirukan tanpa pengesahan rasmi pihak istana.

Malah, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah turut menafikan terbabit dalam program berkenaan.

Sumber Istana Pahang berkata, Tengku Hassanal bertitah supaya namanya tidak digunakan oleh mana-mana pihak dengan sewenang-wenangnya tanpa kebenaran rasmi istana.

Kelmarin, poster program tersebut dikongsikan di media sosial dan program akan diadakan di Mahkota Parade, Banda Hilir Melaka, 5.30 petang semalam.

Poster itu memaparkan gambar Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim; Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin; Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Al-Sultan Abdullah dan gambaran seorang lagi putera raja yang dirahsiakan identitinya.

Bagaimanapun, selepas satu jam menghantar jemputan itu, dimaklumkan majlis itu mungkin tidak akan menjadi kenyataan.

Berita berkaitan:

  • Tengku Hassanal titah namanya usah dipergunakan
  • Disiarkan pada: April 29, 2019 @ 1:18pm
    d