mutakhir

'Seksanya air tak ada'

Oleh Hassan Omar

RATUSAN penduduk sekitar Tanjung Bidara dan Ayer Hitam, Masjid Tanah, Alor Gajah menghadapi kesukaran berikutan bekalan air terputus sejak tengah hari semalam.

Difahamkan, sehingga tengah hari ini, bekalan air masih belum pulih menyebabkan pengguna terpaksa mencari alternatif mendapatkan air perigi untuk kegunaan membasuh dan mandi selain membeli air galian untuk minuman.

Tinjauan di Kampung Balik Batu dan Pasir Gembor di Tanjung Bidara dan Kampung Ayer Hitam Darat serta Ayer Hitam Pantai mendapati suri rumah mengeluh kerana tidak mampu melakukan kerja harian seperti mencuci pinggan mangkuk dan pakaian.

Bagi peniaga gerai makan pula, ketiadaan bekalan air menyebabkan mereka terpaksa menghentikan operasi perniagaan sementara mulai petang semalam hingga hari ini.

Penduduk Kampung Balik Batu, Ibrahim Md Isa, 72, berkata, bekalan air terputus jam 12 tengah hari semalam menyebabkannya tidak dapat melakukan kerja harian seperti biasa.

“Saya hanya mandi beberapa gayung petang semalam dan pagi ini kerana air dalam tempayan yang memang saya sediakan untuk kecemasan perlu digunakan sebaik mungkin.

“Syarikat Air Melaka Bhd (SAMB) tidak memberikan notis gangguan bekalan air dan jika keadaan ini berterusan saya terpaksa mengambil air perigi di kampung lain,” katanya ditemui di kediamannya hari ini.

Peniaga gerai makan, Sulaiman Ahmad, 57, berkata, dia terpaksa menghentikan sementara operasi gerainya di Kampung Ayer Hitam Pantai berikutan ketiadaan bekalan air kerana tidak boleh memasak dan menyediakan minuman.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi SAMB, Halim Bachik berkata, siasatan mendapati sungai di Gadek mengalami pencemaran yang mengakibatkan pemprosesan air masih boleh dilakukan tetapi air dibekalkan kepada pengguna dicemari bau busuk.

Bagaimanapun, beliau yang enggan menjelaskan punca pencemaran itu berkata, masalah berkenaan dikesan sejak empat hari lalu dan pelbagai usaha dilakukan SAMB untuk memulihkan bekalan air secepat mungkin.

Disiarkan pada: April 29, 2019 @ 1:19pm
d