mutakhir

Kumpulan belasah OKU dicari

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

POLIS sedang mengesan beberapa individu disyaki terbabit dalam kejadian memukul seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang tular di laman sosial sejak Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, gerakan mengesan individu berkenaan dilakukan susulan laporan diterima daripada mangsa berusia 39 tahun.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku di Bukit Payung, pada 17 April lalu dan mangsa memaklumkan dia yang cedera akibat kejadian itu turut ditahan di hospital.

“Mangsa hanya mengetahui kejadian itu tular di Facebook (FB) ketika melayari laman sosial berkenaan sebelum tampil membuat laporan polis.

“Kami sedang menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti punca kejadian dan individu bertindak memukul mangsa.

“Ingin saya tegaskan, tidak kira apa kesalahan dilakukan lelaki itu orang ramai tidak sewajarnya mengambil tindakan sendiri sebaliknya biarlah pihak berkuasa jalankan siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Suhaimi berkata, pihaknya meminta individu terbabit atau saksi kejadian tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Video selama 30 saat merakam kejadian lelaki OKU kudung kaki kanan dibelasah beberapa individu tular menerusi FB sejak Sabtu lalu dan menarik perhatian netizen.

Disiarkan pada: April 29, 2019 @ 2:52pm
d