mutakhir

Suri rumah diperdaya lelaki UK

Oleh Norsyazwani Nasri

SEORANG suri rumah di Miri kerugian RM3,800 selepas diperdayakan kenalan Facebook (FB).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak, Superintendan Mustafa Kamal Gani berkata, mangsa berusia 34 tahun berkenalan dengan seorang lelaki mendakwa dari United Kingdom (UK) pada 13 Mac lalu.

Beliau berkata, menyedari mangsa mempercayainya dan mereka semakin rapat, suspek memberitahu akan mengirim hadiah kepada suri rumah itu.

“Khamis lalu, mangsa menerima panggilan telefon kononnya daripada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memaklumkan ada bungkusan dari UK untuknya.

“Namun bungkusan itu ditahan pihak kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, suspek memberitahu bagi pelepasan barang terbabit mangsa perlu membayar RM3,800 sebagai caj perkhidmatan dan penghantaran.

“Mangsa yang panik melakukan dua transaksi masing-masing berjumlah RM3,000 dan RM800 ke akaun bank yang diberikan suspek.

“Mangsa hanya sedar dan mengesyaki dirinya ditipu selepas akaun bank itu didapati milik orang lain,” katanya.

Disiarkan pada: April 29, 2019 @ 3:57pm
d