mutakhir

Pencuri lembu berputih mata

Oleh Mohd Khidir Zakaria

PENTERNAK lembu menggagalkan cubaan pencuri melarikan tujuh ekor haiwan ternakannya yang ditinggalkan dalam lori di sebuah ladang di Tanah Merah, Port Dickson semalam.

Siti Aminah Abdullah, 55, berkata, dia menyedari lembu miliknya dicuri sebaik memeriksa ladang ternakannya 6 petang.

Sebelum itu katanya, dia melihat dua kenderaan pacuan empat roda dan sebuah lori memasuki kawasan ladang menyebabkannya curiga lalu bertanya tujuan mereka memasuki kawasan itu.

“Mereka mendakwa mahu pasang pagar di ladang berhampiran. Saya curiga kerana biasanya tiada kerja pengubahsuaian atau baik pulih dilakukan pada Ahad.

“Saya segera menghubungi polis meminta anggota melakukan rondaan. Apabila saya kembali ke ladang ternakan, saya terkejut melihat sebuah lori dan tujuh lembu ditinggalkan di dalamnya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Siti Aminah berkata, semua haiwan ternakannya itu dipercayai sudah dibius tetapi tidak sempat dilarikan selepas dipercayai melihat kehadiran polis.

Katanya, lebih 100 ekor lembu dicuri membabitkan kerugian RM500,000 sejak keluarganya mengusahakan ladang ternakan itu 40 tahun lalu.

“Terlalu kerap lembu saya hilang termasuk lembu baka bernilai tinggi. Sekarang saya menternak 500 ekor lembu dan dilepaskan di kawasan ladang ini.

“Saya berharap pencuri lembu itu dapat ditangkap kerana sudah banyak kerugian saya tanggung,” katanya yang sudah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: April 29, 2019 @ 5:45pm
d