mutakhir

Ramadan tanpa pembaziran

Oleh BERNAMA

KADAR pembaziran tinggi dan peruntukan besar untuk pengurusan sisa pepejal setiap tahun mendorong kerajaan mengambil langkah proaktif mengadakan kempen Ramadan Tanpa Pembaziran tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, pembaziran di negara ini membimbangkan sehingga memberi kesan kepada kewangan negara apabila terpaksa memperuntukkan lebih RM2 bilion untuk pengurusan sisa pepejal pada 2017.

“Menurut laporan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), rakyat negara ini membuang 15,000 tan metrik makanan sehari dan 3,000 tan metrik daripadanya adalah makanan yang masih elok dan tidak sepatutnya dibuang.

“Bahan sisa buangan itu meningkat 15 hingga 20 peratus pada Ramadan.

“Jadi ubahlah sikap dan apabila ke Bazar Ramadan, fikirlah 10 kali sebelum membeli kerana kita antara yang menyumbang kepada pembaziran yang melampaui batas sehingga boleh merosakkan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Majlis Pelancaran Marhaban Ya Ramadan Peringkat Kebangsaan di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir Timbalan KPKT, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Ibni Raja Ahmad Baharuddin Shah; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Datuk Dr Azizan Baharuddin.

Menurut Mujahid, kempen ‘Ramadan Tanpa Pembaziran’ akan diterajui JAKIM dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi dan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc).

“Kerjasama itu sebagai satu projek rentas bertujuan untuk meningkatkan kesedaran rakyat supaya tidak membazir terutamanya pada Ramadan,” katanya.

Mujahid berkata, tabiat pembaziran makanan dalam kalangan umat Islam khususnya pada Ramadan tidak selari dengan prinsip Maqasid Syariah.

“Kita selalu dengar ungkapan jangan membazir, tetapi tidak pernah dikaji apa kesannya dalam kehidupan ini.

“Inilah dasar Maqasid Syariah kerana ia menjaga bukan hanya diri kita tetapi juga orang lain dan seluruh warga dunia dan ke atas bumi yang didiami,” katanya.

Justeru, setiap umat Islam perlu sentiasa peka terhadap setiap tindakan yang dilakukan dan implikasinya supaya tidak melakukan perkara bertentangan dengan syariat.

Turut disampaikan bantuan kepada 724 masjid, surau Jumaat dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan dengan peruntukan RM8.6 juta sempena ketibaan Ramadan ini dan penyampaian watikah pelantikan kepada 960 amil di 74 pusat pungutan zakat di seluruh Wilayah Persekutuan.

Disiarkan pada: April 29, 2019 @ 6:16pm
d