mutakhir

`Tuduhan guris hati saya'

Oleh Mary Victoria Dass

“SAYA berharap orang ramai henti sebarkan mengenai kisah suami kerana tindakan mereka mengguris hati saya dan ahli keluarga,” kata Nor Hidayah S Berry, 27.

Dia yang ditemui di Bandar Seri Alam, Masai di Pasir Gudang hari ini, menafikan kisahnya yang tular di media sosial kononnya suaminya, Al Dasir Julasiri, 30, terbabit dengan penyalahgunaan dadah hingga menyebabkan kehidupan mereka tidak seperti diimpikan.

“Suami saya tidak malu melakukan apa juga pekerjaan yang halal kerana niat untuk mencari rezeki kepada kami tujuh beranak dan bersedia menerima sebarang tawaran kerja lebih baik,” katanya.

Menurutnya, semua anak mereka tidak perlu dididik untuk berpuasa sempena Ramadan kerana masing-masing sudah biasa mengikat perut sejak dua tahun lalu.

Nor Hidayah berkata, keluarganya hidup dalam keadaan serba kekurangan berikutan suaminya tiada pendapatan tetap, selain terpaksa menjalani rutin harian dengan apa yang ada saja.

“Masalah putus bekalan makanan juga bukan perkara baru bagi kami, malah anak-anak sudah biasa dengan keadaan itu dan tidak berdepan masalah untuk berpuasa.

“Ramadan kali ini juga tidak jauh berbeza dengan tahun sebelumnya kerana sehingga kini keluarga kami tidak melakukan sebarang persiapan.

“Saya tetap bersyukur kerana walaupun anak-anak masih kecil tetapi mereka tidak pernah meminta juadah berbuka puasa yang sedap sebaliknya hanya makan apa yang ada.

“Sebelum ini, kami pernah berbuka dengan nasi putih, kicap dan telur selain bubur nasi tetapi anak tidak pernah menolaknya dan makan apa yang ada saja,” katanya.

Lima anak pasangan itu ialah Muhammad Nizhar Aliff, 3; Nurul Amira Syazwan, 6; Muhammad Nazry, 8; Ainul Mardiah Izzaty, 10, dan Nurul Wahidah, 11.

Nor Hidayah berkata, dia dan suami serta lima anak mereka dibenarkan untuk menghuni di ruangan kecil di belakang bangunan rumah kedai oleh pemilik bangunan yang bersimpati dengan keadaan mereka.

Menurutnya, ruangan yang diubah suai termasuk berdindingkan papan serta zink itu tidak mempunyai bilik tidur.

Katanya, keluarganya diminta membayar RM80 buat masa ini bagi menampung bil utiliti dan tidak dikenakan sewa.

“Suami saya bekerja sebagai buruh kontrak pembinaan, namun pendapatannya tidak tetap kerana bergantung kepada kekerapan kerja dilakukan.

“Kami juga bersyukur kerana menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 setiap bulan,” katanya.

Nor Hidayah yang kini mengandung enam bulan berkata, pada tahun ini anak-anaknya juga mungkin terpaksa menggunakan pakaian lusuh bagi meraikan Syawal.

“Pada tahun lalu kami hanya mampu menyarungkan anak-anak dengan pakaian lusuh dari kedai pakaian terpakai yang dibeli dengan harga dari RM5 kerana tidak mampu membeli persalinan baru tetapi rezeki mereka murah kerana pada saat akhir ada hamba Allah sedekahkan baju.

“Namun pada tahun ini kami tidak mengharap dan sekiranya ada rezeki, kami juga tidak menolak demi anak-anak.

“Ibu bapa mana yang sanggup melihat anak beraya dengan baju lusuh tetapi memandangkan kami masih diuji, kami tabah mengharungi keadaan ini dan bersyukur dengan apa yang ada,” katanya.

Disiarkan pada: April 29, 2019 @ 8:08pm
d