mutakhir

ANGKASA sasar 50 koperasi sekolah jutawan

Oleh Nor Akmar Samudin

ANGKATAN Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) mensasarkan 50 buah koperasi sekolah muncul sebagai koperasi sekolah jutawan pada tahun depan.

Sasaran itu dibuat ANGKASA berikutan ketika ini sudah ada 300 koperasi sekolah yang mampu memperolehi pulangan lebih RM500,000 setahun.

Presiden ANGKASA Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, tahun lalu ada tujuh sekolah berstatus koperasi sekolah jutawan selepas mencapai pulangan sebanyak RM1 juta setahun antaranya Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kubang Pasu, MRSM Kepala Batas, MRSM Taiping, MRSM Batu Pahat dan Kolej Vokasional Tanah Merah.

Menurutnya, pada tahun ini pula pihaknya mensasarkan 20 koperasi sekolah lagi akan menjadi koperasi sekolah jutawan.

Beliau ditemui selepas majlis tayangan rakaman video koperasi MRSM Kepala Batas yang dipilih Perikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) untuk didokumentasikan oleh pasangan suami isteri dari Itali, Sara Vicari dan Andrea Mancori.

“Koperasi sekolah mampu membina sifat keusahawanan dalam diri pelajar dan turut berperanan penting dalam pembangunan komuniti berbeza di seluruh dunia.

“Sehubungan atas peranan itu, mereka berdua dibantu sepasukan seramai enam orang untuk menjalankan projek yang dinamakan aroundtheworld.coop,” katanya.

Menurut Abdul Fattah, ANGKASA memberikan khidmat nasihat kepada Sara dan Andrea sepanjang rakaman itu yang dilakukan di MRSM Kepala Batas pada awal April lalu selama 10 hari membabitkan seluruh pelajar dan gurunya.

“Pasangan berkenaan berpengalaman selama 15 tahun dalam suntingan video termasuk untuk National Geographic.

“Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia yang ada koperasi sekolah,” katanya sambil menjelaskan rakaman itu berdurasi selama 12 minit.

Abdul Fattah berkata, ia adalah peluang keemasan kepada ANGKASA apabila pasangan terbabit memilih Malaysia untuk menghasilkan rakaman yang boleh mula boleh disaksikan menerusi laman web www.ica-ap.coop/icanews/around-world-coops.

“Pemilihan MRSM Kepala Batas adalah tepat sekali kerana ia menonjolkan elemen pembangunan komuniti setempat melalui koperasi.

“Suasana pembelajaran dan kehidupan harian pelajar di sekolah asrama penuh itu sendiri serta keupayaan koperasi itu memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat sekitar dilihat sangat bersesuaian dengan tema Hari Koperasi Sedunia tahun ini iaitu `Cooperatives for Decent Work’,” katanya.

Disiarkan pada: April 29, 2019 @ 10:43pm
d