mutakhir

Elaun 46 nelayan ditamatkan

Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

SERAMAI 46 nelayan dari Port Dickson dan Telok Kemang tidak lagi menerima E-Diesel atau E-Petrol dan Elaun Sara Hidup Nelayan selepas proses pemutihan dijalankan pada Januari serta Februari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian Dan Industri Asas Tani, Bakri Sawir berkata, 30 nelayan adalah dari Port Dickson manakala 16 dari Telok Kemang.

Katanya, daripada 95 nelayan yang dijalankan siasatan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), seramai 49 nelayan diluluskan untuk menerima semula elaun.

“Siasatan mendapati antara punca elaun mereka dibatalkan kerana tidak lagi turun ke laut dan tidak mengambil minyak selama tujuh bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Abdul Rahman Mohd Redza (BN-Linggi) ketika sesi pertanyaan lisan Persidangan Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan di Seremban, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang itu berkata, LKIM akan mengadakan pemutihan sekurang-kurangnya dua kali setahun bagi memantau sebarang penyelewengan dan ketirisan.

Katanya, sejak tahun lalu empat Mesyuarat Jawatankuasa Pemutihan Minyak Bersubsidi dan Elaun Sara Hidup Nelayan dijalankan iaitu pada Mei dan Oktober 2018 serta Januari dan Mac 2019.

Menjawab soalan tambahan, Bakri berkata, nelayan yang tidak menerima lagi elaun kerana masalah kesihatan atau uzur, akan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal untuk dipertimbangkan bantuan.

Disiarkan pada: April 29, 2019 @ 11:15pm
d