mutakhir

Unit khas periksa bangunan berusia 30 tahun

Oleh Mohd Sabran Md Sani

UNIT Khas di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dianggotai jabatan teknikal perlu diwujudkan kerajaan Johor bagi melakukan pemeriksaan atau audit bangunan secara berkala ke atas bangunan berstrata yang berusia melebihi 30 tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, tindakan itu bagi memastikan bahawa bangunan terbabit selamat untuk diduduki disamping dapat mengenal pasti kerja baik pulih yang bersesuaian untuk dilaksanakan.

“‘Taskforce’ atau Unit Khas di bawah PBT itu akan di anggotai jabatan teknikal seperti Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kerja Raya (JKR), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Ranhill SAJ dan PBT.

“Ia bagi memastikan hayat fizikal, hayat fungsi dan hayat ekonomi sesuatu bangunan terbabit dapat dimaksimumkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai isu bangunan di Blok F Flat Keramat Permai, Ampang Jaya, Selangor yang mengalami rekahan dan mendapan teruk.

Dzulkefly berkata, kerajaan negeri menyambut baik cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mengenai keperluan melaksanakan pemeriksaan bagi menentukan kerja baik pulih, membina semula flat atau berstrata yang berusia 30 tahun.

Katanya, cadangan itu seperti mana dinyatakan dalam Dasar Perumahan Negara (DRN 2018-2025).

“Dasar itu menyatakan mengenai usaha mewujudkan program pembangunan semula untuk memudahkan rejuvenasi bangunan dalam memenuhi Piawaian Perumahan Berkualiti (PBB),” katanya.

Menurut Dzulkefly lagi, tindakan melakukan semakan (audit bangunan) atau pemeriksaan ke atas bangunan kediaman berstrata yang berusia melebihi 30 tahun adalah satu langkah bersifat langkah pencegahan untuk tujuan keselamatan dan keselesaan penghuninya.

“Langkah ini akan dapat mengelakkan sebarang bentuk kecelakaan atau bencana dari berlaku dan sudah tentu dapat menyelamatkan banyak nyawa daripada terkorban.

“Peristiwa Highland Tower yang berlaku pada tahun 1993 yang mengorbankan 48 nyawa walaupun disebabkan oleh gelunsuran tanah dan ia masih segar dalam ingatan kita,” katanya.

Setakat ini 10 Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan tujuh Projek Rumah Sewa Kerajaan (RSK) terletak di bawah pengurusan dan pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (SUKJ) (Perumahan).

Semua 10 projek PPR yang meliputi 9,095 unit berstrata sudah berusia antara satu tahun hingga 17 tahun.

Bagaimanapun empat daripada tujuh projek RSK iaitu RSK Larkin, RSK Kluang, RSK Batu Pahat dan RSK Segamat yang meliputi 1,431 unit berstrata sudah berusia melebihi 30 tahun

RSK Kangkar Pulai, RSK Taman Cendana 1 RSK Taman Cendana 2 meliputi 1,593 unit berstrata berusia kurang dari 30 tahun.

Di Johor juga ada beberapa rumah pangsa berstrata hak milik persendirian yang sudah mencecah usia melebihi 30 tahun seperti Rumah Pangsa Taman Cempaka, Rumah Pangsa Taman Melor, Rumah Pangsa Taman Kenanga, Rumah Pangsa Larkin, Rumah Pangsa Bertam 16 & 1, Rumah Pangsa Jalan Nipah 11, Rumah Pangsa Jalan Enau 16 & 20.

Selain itu, Pangsapuri Daya View, Rumah Pangsa Jalan Sagu 34 &35 dan Rumah Pangsa Taman Melati 5 di bawah kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

Manakala Rumah Pangsa Taman Ungku Tun Aminah (TUTA) dan Rumah Pangsa Taman Perling (Jalan Camar) di bawah kawasan Majlis Bandaraya lskandar Puteri (MBlP).

Disiarkan pada: April 30, 2019 @ 12:12am
d