mutakhir

Elak umrah DIY

Oleh Amir Abd Hamid

KUALA LUMPUR: Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (Papuh) menasihatkan orang ramai yang berhasrat menunaikan umrah khususnya kali pertama supaya mengatur pergerakan mereka melalui agensi bertauliah dan elakkan bersendirian.

Pengerusi Papuh Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, perlu diingat kerajaan Arab Saudi mensyaratkan setiap individu yang mahu mengerjakan umrah di Makkah mesti mempunyai visa.

Timbul masalah, katanya, apabila ada segelintir yang mahu mengerjakan umrah DIY (secara sendiri) hanya menggunakan visa pelancong tanpa memohon visa.

“Mereka ada visa umrah tiada masalah. Pakai visa melancong (untuk mengerjakan umrah) yang salah. Semua visa umrah mesti ada muasasah secara automatik.

“Apapun, saya menasihatkan pergilah umrah dengan menggunakan perkhidmatan syarikat atau agensi berlesen. Kurang risiko dan ibadah umrah boleh dilakukan dengan senang hati,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai umrah DIY yang berkemungkinan akan banyak berlaku menjelang Ramadan ini apabila ramai berhasrat melakukan ibadah puasa di Tanah Suci Makkah.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan menggesa rakyat Malaysia supaya tidak mengatur sendiri urusan mengerjakan umrah, sebaliknya perlu melalui agensi pelancongan berdaftar.

Ketua Setiausaha Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Rashidi Hasbullah, berkata demikian ketika memberi penjelasan berhubung isu membabitkan E-Umrah.

“Saya mahu jelaskan bahawa rakyat Malaysia yang mahu mengerjakan umrah perlu mendapatkan visa daripada agensi pelancongan berdaftar dengan kementerian, dan disahkan sebagai rakan muassasah kepada Kedutaan Arab Saudi.

Disiarkan pada: April 30, 2019 @ 6:30am
d