mutakhir

Lalok dulu baru kerja

Oleh Hadzlihady Hassan

BUKIT MERTAJAM: “Pekena syabu dahulu, baru boleh buat kerja,” kata seorang mat despatch berumur 30 tahun yang ditahan polis di susur keluar Jalan Baru ke Perai Jaya, dekat sini.

Dia ditahan jam 5 pagi Sabtu lalu selepas memandu kereta dalam keadaan mencurigakan oleh tiga anggota polis yang meronda kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan anggotanya menemui satu bungkusan plastik mengandungi syabu yang disimpan suspek.

“Semakan awal mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau dan dia juga positif Methamphetamine.

“Suspek kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya di sini, semalam.

Difahamkan, suspek memberitahu anggota polis yang menahannya, dia terpaksa menghisap syabu untuk memudahkan melakukan kerja menghantar barang.

Sementara itu, dua lelaki berusia 20-an ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Machang Bubok, jam 5.45 petang Sabtu, ketika khayal selepas menghisap dadah.

Nik Ros Azhan berkata, polis merampas heroin dan peralatan menghisap dadah iaitu kertas timah, pemetik api serta gunting.

“Kedua-duanya mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: April 30, 2019 @ 7:00am
d