mutakhir

Melabur saham akhirat

Oleh Mary Victoria Dass

“INILAH peluang saya berkongsi keuntungan bersama masyarakat,” kata Datuk Mohd Sahari Mohd Salleh yang juga pengasas syarikat ejen hartanah, Sahari Management ketika menyumbangkan van jenazah kepada Badan Kebajikan Islam Kampung Melayu Majidee di Johor Bahru, hari ini.

Sumbangan van terbabit bukan saja ibarat pelaburan ‘saham akhirat’ syarikat itu, tetapi inisiatif berkenaan bagi memudahkan urusan pengebumian jenazah serta meringankan beban asnaf dalam menanggung kos pengebumian ahli keluarga mereka.

Mohd Sahari berkata, sehingga kini pihaknya mengambil inisiatif membeli lima van termasuk yang baru dan terpakai untuk disedekahkan sebagai van jenazah di sekitar bandar raya ini.

Beliau berkata, pihaknya berharap pertubuhan yang menerima van jenazah dapat memanfaatkan kemudahan terbabit dengan sebaik-baiknya sama ada untuk ahli kariah atau yang tinggal berdekatan.

“Saya memahami masalah dialami segelintir umat Islam terutama mereka yang daif apabila berlaku kematian dalam keluarga, mereka perlu membiayai pelbagai kos termasuk menyewa van jenazah.

“Sekurang-kurangnya sumbangan berkenaan dapat meringankan beban mereka,” katanya ketika sesi penyerahan van jenazah kepada pengerusi Badan Kebajikan Islam Kampung Melayu Majidee, Mohd Ali Mohd Salleh, hari ini.

Katanya, dia bercadang untuk menyumbang van jenazah kepada beberapa pertubuhan pada masa depan, namun ia bergantung kepada kedudukan kewangan syarikat.

“Saya yakin menerusi usaha ini, saya mampu mencari saham akhirat serta memupuk kesedaran ramai terutama ahli perniagaan untuk bersedekah,” katanya.

Sementara itu, Mohd Ali berkata, pihaknya berterima kasih atas sumbangan diberikan syarikat itu bagi memudahkan pengurusan jenazah.

Menurutnya, badan kebajikan berkenaan menawarkan perkhidmatan van jenazah sejak 1991 dan sebelum ini hanya memiliki sebuah van.

“Kami menawarkan perkhidmatan van jenazah di sekitar kawasan Larkin, Kampung Melayu, Bandar Baru Uda, Taman Setia Indah dan Kebun Teh.

“Kami tidak menafikan ada keluarga yang kurang berkemampuan hingga sukar menanggung kos pengebumian.

“Bagi golongan seumpama itu kami menawarkan perkhidmatan secara percuma, manakala bagi yang lain hanya dikenakan bayaran minimum dan ia digunakan bagi menyelenggara van serta kos minyak.

“Kami berharap rezeki penyumbang lebih murah dan meneruskan niat murni bagi membantu golongan kurang bernasib baik termasuk menerusi penganjuran program berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: April 30, 2019 @ 9:56am
d