mutakhir

1 maut, 2 cedera dirempuh treler

Oleh Mohd Sabran Md Sani

LELAKI maut, manakala dua yang lain cedera selepas Nissan Frontier dan treler terbabit kemalangan di Kilometer 21.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, dekat Kulai, semalam.

Kejadian 5.15 petang itu mengakibatkan mangsa, Mohd Fairuz Mohd Aluei, 34, yang beralamat di Bandar Seremban, Sungai Gadut, Seremban, Negeri Sembilan, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala, patah tangan dan kaki kanan.

Kemalangan itu turut mengakibatkan isterinya, Norfazillawati Mohammad Fadzil, 34, serta kanak-kanak lelaki, Ziyad Adam berusia 10 bulan, cedera dan mendapatkan rawatan di Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai.

Ketua Polis Daerah Kulai, Suprintendan Tok Beng Yeow berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati punca kejadian akibat kegagalan pemandu treler mengawal kenderaannya.

Katanya, treler yang dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur itu hilang kawalan dan merempuh besi pembahagi di tengah jalan.

“Kejadian itu mengakibatkan kenderaan itu memasuki lorong kanan arah bertentangan dan bertembung dengan Nissan Frontier dipandu mangsa yang sedang bergerak lurus.

“Akibat dari pelanggaran itu, pemandu Nissan Frontier tercampak ke sebelah kiri bahu jalan arah ke Johor Bahru.

“Kemalangan itu mengakibatkan mangsa parah di kepala, patah tangan dan kaki kanan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik Ambulans Bukit Liki, Kulai,” katanya mengesahkan kemalangan itu.

Berikutan itu dua lagi ahli keluarga mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Berikutan itu pemandu treler diarahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai untuk membuat laporan dan membantu siasatan.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati kecuaian pemandu treler yang gagal mengawal kenderaan ketika jalan basah dan licin akibat hujan menjadi punca kemalangan.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar baru Kulai, Abd Malim Abd Rahman berkata, enam anggota bersama sebuah jentera ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kemalangan membabitkan dua kenderaan.

“Sebuah treler terbabas dan memasuki laluan bertentangan dan merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda mengakibatkan mangsa tersepit.

“Pihak bomba mengeluarkan mangsa dan menyerahkan kepada polis untuk tindakan seterusnya,” katanya.

Disiarkan pada: April 30, 2019 @ 10:16am
d