mutakhir

Ajal motosikal terbabas

Oleh Muhammad Apendy Issahak

PENUNGGANG motosikal maut, manakala rakannya yang membonceng parah selepas motosikal dinaiki dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas Kilometer 327.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di Tapah, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian 6.45 pagi itu, membabitkan penunggang, Muhamad Safuan Azran Aznan, 23, yang beralamat di Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar, Kedah, dan pembonceng, Muhammad Muhaimin Parizal, 22, beralamat di Taman Gunung Bongsu, Alor Setar, Kedah yang menaiki motosikal Yamaha Y15ZR.

“Siasatan awal mendapati kemalangan hanya membabitkan sebuah motosikal yang dipercayai terbabas sendiri yang mana mangsa dalam perjalanan dari Kedah menuju ke Kuala Lumpur.

“Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal ditunggang dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar besi pembahagi jalan dan terbabas,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, dalam kemalangan itu penunggang meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pembonceng parah dan dibawa ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut.

“Bedah siasat akan dijalankan di Unit Forensik Hospital Tapah dan keluarga mangsa sudah dimaklumkan mengenai kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: April 30, 2019 @ 11:23am
d