mutakhir

Teh Beng Avengers 'box office'

Oleh Shahrinnahar Latib

KREATIVITI dua rakan yang mengenakan kostum watak komik adiwira Spiderman sambil menjual teh ais nyata ‘menjadi’ apabila gerai mereka yang terletak di Beserah, sering dikunjungi orang ramai sejak mereka mula berniaga bulan lalu.

Strategi yang digunakan oleh Mohd Azlan Mohamad Ashari, 25, dan rakannya, Hasmizah Rashid, 39, itu turut menyebabkan gerainya yang diberi nama ‘Teh Beng Avengers’ itu tular di laman sosial.

Mohd Azlan berkata, dia menjual air berkenaan dengan harga RM3 hingga RM4 segelas dan jualan mampu mencecah sehingga 200 gelas sehari.

“Bermula dengan modal hanya RM3,000, kami berdua membeli kostum dan barang berniaga.

“Sambutan yang diterima semakin memberangsangkan, pada hari biasa kami boleh jual 150 gelas sehari dan jumlah itu akan mencecah 200 gelas pada hari minggu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Katanya, disebabkan ramai peniaga yang menjual jenis air yang sama, mereka merasakan penggunaan kostum adalah kaedah terbaik untuk menarik pelanggan.

“Saya ada empat set kostum termasuk Spiderman dan Mickey Mouse. Jika panas dan berpeluh saya akan balik rumah untuk mandi sebelum tukar kepada kostum yang lain pula.

“Bila ada kelainan sebegini pelanggan akan mengunjungi gerai terutamanya kanak-kanak yang biasanya mahu bergambar ,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Dalam pada itu Mohd Azlan berkata, dia tidak menyangka, tindakannya membantu mangsa kemalangan di Beserah, kelmarin menjadi tular di laman sosial Facebook.

Katanya, dia bukan sengaja mencari publisiti sebaliknya mahu membantu kerana kemalangan itu berlaku berhampiran gerainya.

“Kejadian itu berlaku di hadapan mata dan melihat kenderaan itu terbalik, jadi saya ke sana untuk membantu.

“Saya tidak harapkan sebarang publisiti kerana niat asal saya adalah untuk membantu sebelum pihak polis dan pegawai perubatan tiba di lokasi kejadian,” katanya.

Disiarkan pada: April 30, 2019 @ 11:57am
d