mutakhir

Padah jual arak, rokok secara haram

Oleh Nurul Amanina Suhaini

TIGA lelaki termasuk dua warga Nepal ditahan kerana menjual arak dan rokok secara haram di sebuah premis di Jalan Idaman, Taman Desa Idaman, Senai, Johor Bahru, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, suspek berusia 18 hingga 30 tahun itu ditahan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai dalam serbuan kira-kira 10 malam tadi.

Katanya, suspek dipercayai menjual arak dan rokok secara haram kepada pekerja kilang berhampiran.

“Rampasan membabitkan empat botol arak 750 mililiter, 15 botol 700 mililiter, sehelai kertas putih tertera tulisan dan angka penjualan rokok dan arak, selain wang tunai RM2,529.

“Selain itu, turut dirampas 103 arak berjenama botol 350 mililiter, 118 botol arak 170 mililiter, 15 arak 700 mililiter dan 71 arak 375 mililiter,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu katanya, sebanyak 63 karton rokok putih turut dirampas.

Beng Yeow berkata, semua suspek dan barang rampasan di bawa ke IPD Kulai untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 32 (1) Akta Eksais 1976, Seksyen 135 Akta Kastam dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.

Disiarkan pada: April 30, 2019 @ 1:29pm
d