mutakhir

Mujur cepat hubungi bomba

Oleh Recqueal Raimi

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia setahun diselamatkan pasukan bomba selepas terperangkap lebih 20 minit dalam kereta ibunya di Taman Ehsan, Kudat, pagi ini.

Dalam kejadian 8.30 pagi itu, ibu kanak-kanak terbabit dikatakan sedang memanaskan enjin kereta Perodua Kancil di rumahnya.

Bagaimanapun sebaik keluar dari kereta berkenaan, tanpa disedari anaknya masuk dalam kereta lalu bermain dengan kunci kereta dan tertekan tombol kunci pintu.

Ibu mangsa panik selepas gagal memujuk anaknya untuk membuka pintu kereta hampir 20 minit sebelum menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kudat, Ishak Jabas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 8.46 pagi dan menghantar enam anggota dengan sebuah jentera ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati mangsa terperangkap dalam kenderaan dalam keadaan tingkap bertutup dan pintu berkunci.

“Pasukan bomba bertindak mengumpil pintu kereta menggunakan peralatan khas memandangkan ia sudah berlaku hampir 20 minit sebelum berjaya membawa mangsa keluar,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil dan operasi ditamatkan 8.56 pagi.

Disiarkan pada: April 30, 2019 @ 4:39pm
d