mutakhir

Pokok hempap kenderaan

Oleh Nurul Amanina Suhaini

TIGA kenderaan dihempap pokok tumbang dalam kejadian ribut dan angin kencang di Sungai Rengit, Kota Tinggi petang ini.

Pegawai Operasi Balai Bomba Penyelamat Bandar Penawar, Pegawai Bomba Kanan II Abd Rahim Abd Rani, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 1.03 petang, sebelum menggerakkan sebuah jentera bersama enam anggota ke lokasi kejadian.

“Setiba di lokasi, bomba mendapati terdapat lima pokok rhu tumbang menghempap tiga kenderaan awam yang di parkir di sekitar jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sungai Rengit.

“Operasi turut dibantu pihak berkuasa tempatan (PBT) Pengerang dan anggota Pasukan Bomba Sukarela Sungai Rengit.

“Tiga kereta iaitu Toyota Vios, Proton Wira dan sebuah van mengalami kerosakan. Namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Abd Rahim berkata, terdahulu, pihaknya ke Kampung Masjid Sungai Rengit, di sini, susulan kejadian sama.

“Di kampung berkenaan, berlaku kejadian sebuah pokok yang tumbang sehingga menghalang jalan raya.

“Operasi dibantu dua anggota Pasukan Bomba Sukarela Sungai Rengit dan sebuah jentolak, selain tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Anggaran kerugian masih dalam siasatan dan operasi ditamatkan kira-kira jam 3.38 petang tadi,” katanya.

Disiarkan pada: April 30, 2019 @ 5:57pm
d