mutakhir

Malaysia jadi transit seludup gading

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

LAPANGAN terbang dan pelabuhan di negara ini dipercayai menjadi transit penyeludupan gading gajah sebelum dieksport ke luar negara.

Kegiatan yang dipercayai didalangi sindiket luar negara itu dikesan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli menerusi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) hasil rampasan yang dilaksanakan pihak berkuasa.

Menterinya, Dr Xavier Jayakumar berkata, sebanyak 15 kes pemerdagangan gading gajah dirampas di dua lokasi berkenaan dalam tempoh 2011 sehingga 2017.

“Rampasan itu membabitkan 3,692.4 kilogram gading lengkap dan separa gading serta 228.89 kilogram produk gading separa siap.

“Berdasarkan siasatan dilakukan, rampasan gading itu dipercayai dari beberapa negara di Afrika untuk pasaran Hong Kong dan Vietnam,” katanya ketika sidang media selepas majlis Pelupusan Barang Kes Gading Gajah di Pusat Kualiti Alam Sdn Bhd di Seremban, hari ini.

Pada majlis itu, sebanyak 3.92 tan gading gajah bernilai RM13.26 juta dilupus dengan cara dibakar bagi memastikan stok yang dirampas tidak masuk semula ke pasaran gelap.

Mengulas lanjut, Dr Xavier berkata, kementerian turut menubuhkan pasukan khas dengan kerjasama PERHILITAN dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi mengekang aktiviti penyeludupan itu.

Menurutnya, pihaknya sukar mengesan sindiket menjalankan aktiviti itu kerana kebiasaannya suspek yang ditahan bukan ahli sindiket sebaliknya individu melaksanakan penghantaran.

“Berikutan itu, pasukan khas ditubuhkan bagi menyiasat dan mengenal pasti sindiket berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan gading itu dilupus dengan teratur dan selamat, Kualiti Alam Sdn Bhd memilih untuk menggunakan kaedah sistem insinerator melalui teknologi tanur berputar yang beroperasi pada suhu melebihi 1,000 darjah celsius.

“Ia adalah kaedah paling sesuai, efektif dan selamat yang mampu memusnahkan semua gading gajah dalam tempoh singkat.

“Kaedah ini turut menepati piawaian peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang digunakan dalam merawat sisa buangan terjadual,” katanya.

Disiarkan pada: April 30, 2019 @ 6:08pm
d