mutakhir

Jual produk tiruan pada harga tulen

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

JUAL penyerap hentakan dan spring kenderaan tiruan pada harga menyamai produk jenama tulen di pasaran.

Kegiatan penipuan itu dibongkar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya susulan serbuan di dua premis di Petaling Jaya, Selangor, semalam.

Timbalan Pengarah (Operasi Khas) Penguatkuasa KPDNHEP Rosli Ahmad berkata, kegiatan itu dibongkar susulan tindakan pemeriksaan mengejut dilakukan sepasukan 10 anggota KPDNHEP Putrajaya terhadap sebuah premis menjual alat ganti kenderaan pada 11.30 pagi semalam.

Beliau berkata, pemeriksaan turut dilakukan terhadap stor penyimpanan alat ganti kenderaan yang disyaki menjadi lokasi menyimpan barangan tiruan itu.

“Susulan operasi itu, kami merampas 198 unit ‘lower spring’ dan satu unit penyerap hentakan jenama terkenal dari dua premis berkenaan.

“Semua aksesori dirampas itu dianggarkan bernilai lebih RM141,000. Siasatan dan tindakan diambil KPDNHEP mengikut Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011.

“Sabit kesalahan, pemilik syarikat boleh didenda tidak lebih RM10,000 bagi setiap barangan yang menggunakan perihal dagangan palsu atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Rosli berkata, siasatan mendapati produk tiruan itu dijual pada harga sama dengan produk tulen.

Beliau berkata, siasatan mendapati kualiti dan standard produk tiruan itu tidak sama dengan produk tulen dan tindakan menjual barangan palsu itu dibimbangi boleh membahayakan nyawa pengguna berikutan kualiti pembuatannya rendah serta tidak menepati piawaian keselamatan.

KPDNHEP sebelum ini turut membongkar kegiatan pemilik bengkel kenderaan dan alat ganti kenderaan yang dikesan menjual alat penapis minyak tiruan diseludup dari luar negara kepada pemilik kenderaan buatan tempatan atau import.

Siasatan mendapati alat penapis minyak tiruan adalah antara produk paling popular dijual pengusaha bengkel selain pad brek dan minyak enjin tiruan.

Susulan serbuan di tiga bengkel disyaki menjual alat ganti kenderaan tiruan di Jalan Ipoh dan Cheras di sini, 37 alat penapis minyak kenderaan jenama Ford, 58 alat penapis kenderaan jenama BMW dan 55 alat penapis kenderaan jenama Mercedes Benz dirampas.

Tindakan sama turut diambil KPDNHEP Selangor yang menyerbu tiga premis di syarikat di Puchong Perdana dan menyita 69 unit penapis minyak pelbagai jenama dengan anggaran nilai rampasan RM2,487.

Disiarkan pada: April 30, 2019 @ 6:17pm
d