mutakhir

Duit KWAP masuk ke akaun SRC International

Oleh Murni Wan Omar dan Syah Rul Aswari Abdullah

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa wang berjumlah RM4 bilion milik Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dimasukkan ke dalam akaun milik SRC International Sdn Bhd pada 2011 dan 2012.

Perkara itu disahkan saksi ke-24, Pengurus Bank bahagian Pusat Kiriman Wang Ambank, Wedani Senen, 45, ketika memberi keterangan dalam kes pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa yang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri, Najib Razak.

Wedani mengesahkan kemasukan wang itu melalui resit (confirmation advise) yang dirujuk kepadanya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sulaiman Kho Kheng Fuei.

Menurutnya, wang berjumlah RM2 bilion dimasukkan ke dalam akaun SRC International pada 29 Ogos 2011 secara empat transaksi.

Beliau turut mengesahkan bahawa RM2 bilion lagi dari KWAP ada dimasukkan ke dalam akaun SRC International pada 28 Mac 2012.

SULAIMAN: Mengapa terdapat empat resit untuk pemindahan RM2 bilion bagi transaksi 29 Ogos 2011?

WEDANI: Had transaksi kami adalah RM500 juta dan hanya boleh diluluskan oleh peringkat pengurus dan ke bawah.

SULAIMAN: Jadi untuk memindahkan RM2 bilion ini memerlukan empat transaksi?

WEDANI: Ya betul.

SULAIMAN: Setiap satu adalah RM500 juta?

WEDANI: Ya betul.

SULAIMAN: (merujuk kepada dokumen RENTAS).

WEDANI: Saya sahkan terdapat transaksi keluar sebanyak RM2 bilion daripada KWAP kepada SRC International pada 28 Mac 2012.

SULAIMAN: Boleh Puan rujuk kepada dokumen ini. Kenapa terdapat satu resit sahaja?

WEDANI: Ini adalah kerana ia dikreditkan secara terus melalui satu transaksi melalui RENTAS. Kami menerima wang daripada KWAP pada jam 5.40 petang manakala Bank Negara Malaysia tutup pada jam 6 petang, oleh itu perlu masukkan wang itu segera.

SULAIMAN: Siapa yang meluluskan pemindahan ini?

WEDANI: Bagi had pemindahan RM500 juta ia boleh diluluskan oleh pegawai bank iaitu pengurus dan ke bawah. Bagaimanapun bagi yang melebihi RM500 juta ia hanya boleh dilakukan oleh pegawai bank berpangkat Pengurus Kanan dan ke atas.

Terdahulu saksi memberitahu mahkamah bahawa ‘confirmation advice’ adalah dokumen yang dikeluarkan secara automatik oleh Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti secara Elektronik Masa Nyata (RENTAS).

Menurutnya, ia bagi pelaksanaan pemindahan wang dari Ambank ke bank yang lain manakala bagi wang yang dipindahkan dari Ambank ke bank lain dokumen itu dikenali sebagai ‘Completion Advice’.

Wedani dalam keterangan turut mengesahkan resit RENTAS yang menunjukkan wang RM27 juta daripada akaun syarikat Permai Binaraya Sdn Bhd ke dalam akaun peribadi Najib pada 8 Julai 2014.

“Saya mengesahkan terdapat transaksi wang berjumlah RM27 juta daripada Syarikat Ihsan Perdana Sdn Bhd ke dalam akaun Najib yang sama pada 26 Disember 2014.

“Melalui RENTAS saya mengesahkan wang berjumlah RM10 juta dimasukkan ke dalam akaun Najib daripada Ihsan Perdana Sdn Bhd pada 10 Februari 2015 dan RM5 juta daripada syarikat yang sama pada 26 Disember 2014,” katanya

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung Khamis ini.

Disiarkan pada: April 30, 2019 @ 8:53pm
d