mutakhir

'Saya tidak pasti siapa yang pekak' - Mufti Perlis

Oleh Hairulazim Mahmud

“SAYA tidak pasti siapa yang pekak,” kata Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir menyifatkan Mufti Perlis itu sebagai ‘pekak’ kerana mendakwa kerajaan tidak mempertahankan Islam.

Mohd Asri mengakui mungkin Dr Mahathir terguris dengan tegurannya itu berikutan hubungan baik mereka berdua selama ini.

Bagaimanapun, katanya, hanya yang mendengar keluhan rakyat sahaja tahu realiti sebenar keadaan mereka.

“Saya faham keadaan itu,” katanya dalam status Facebooknya hari ini.

Mohd Asri berkata, beberapa tahun lalu Perdana Menteri ada menulis catatan kepadanya, iaitu:

“Jangan ketepikan kebenaran kerana takut. Perjuangan yang bebas dari cabaran dan tentangan bukanlah perjuangan yang sebenarnya.”

Sehubungan itu, beliau menegaskan akan berpegang dengan falsafah itu sekali pun terhadap kerajaan pimpinan Dr Mahathir sendiri.

Perdana Menteri dalam reaksinya terhadap dakwaan Mohd Asri itu berkata, jika mufti itu boleh mendengar, sudah tentu beliau tahu pelbagai usaha dilakukan kerajaan dalam hal menjaga Islam di negara ini.

“Sebab dia pekak, kalau dia boleh mendengar, kita buat macam-macam untuk orang Islam, agama Islam,” kata Dr Mahathir.

Mohd Asri dipercaya membuat kenyataan itu susulan seorang pendakwah bebas yang dikatakan mempunyai kaitan dengan tokoh pendakwah terkenal dari India Dr Zakir Naik, direman empat hari untuk membantu siasatan.

Pendakwah itu ditahan susulan lebih 700 laporan polis yang diterima di seluruh negara terhadap satu klip video yang dianggap mempunyai unsur penghinaan terhadap agama Hindu.

Berita berkaitan

'Pasal dia 'pekak' - PM'

Disiarkan pada: April 30, 2019 @ 9:11pm
d