mutakhir

Maut langgar pacuan empat roda

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

LELAKI lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah pacuan empat roda di Kilometer 28 Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) di Rawang, hari ini.

Dalam kejadian 5.20 petang itu, mangsa yang berusia 29 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi selepas parah di kepala.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Arshad Kamaruddin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku ketika pacuan empat roda berkenaan dalam perjalanan dari arah Rawang menghala ke Kuala Selangor.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pacuan empat roda itu mengalami kerosakan sebelum pemandunya memberhentikan kenderaan itu di lorong kecemasan.

“Ketika pemandu kenderaan berusia 32 tahun itu mahu keluar, tiba-tiba motosikal ditunggang mangsa merempuh belakang pacuan empat roda berkenaan.

“Mangsa kemudiannya tercampak dan terjatuh di atas jalan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pemandu pacuan empat roda terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: April 30, 2019 @ 9:57pm
d