mutakhir

Dipenjara setahun curi RM100

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

LELAKI dijatuhi hukuman penjara satu tahun di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini, kerana mencuri wang RM100 milik peniaga pasar minggu.

Majistret, Noor Mazrinie Mahmood membuat keputusan itu selepas tertuduh, Awang Embong, 35, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bakal bergelar bapa didakwa mencuri RM100 milik Shahadan Muda, 52, di khemah barangan runcit pasar minggu Pekan Manir di Kuala Terengganu, 9.40 pagi pada 27 April lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya meminta mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan isterinya sarat mengandung dan hanya menunggu masa untuk melahirkan anak sulung mereka.

Tertuduh turut memberi alasan terpaksa melakukan perbuatan itu kerana tidak bekerja selain berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanin Ayim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, mangsa yang sedang berniaga di pasar minggu Pekan Manir, di sini, didatangi seorang lelaki tidak dikenali (tertuduh) dari arah belakang.

Tertuduh mengambil wang hasil jualan yang diletakkan dalam bekas atas meja dan mangsa yang terkejut dengan tindakan itu terus memegangnya.

Tertuduh kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Berita berkaitan

Direman 4 hari curi RM100

Disiarkan pada: April 30, 2019 @ 10:55pm
d