mutakhir

Benda boleh bincang buat apa pukul

Oleh Mohd Sabran Md Sani

“NIAT kami hanya untuk berbincang tetapi lain pula jadinya,” kata pekerja kilang di Singapura, Khalid Nur Ismail, 22, yang cedera di dahi dan mulut dipukul sekumpulan lelaki di sebuah stesen minyak di Gelang Patah, semalam.

Kejadian kira-kira 6 petang itu menyebabkan mangsa menerima empat jahitan di dahi akibat dilibas menggunakan topi keledar oleh seorang lelaki tidak dikenali.

Khalid berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama rakannya menaiki motosikal Yamaha LC berhenti di sebuah stesen minyak di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gelang Patah untuk mengisi minyak.

“Malangnya ketika itu terdapat sebuah motosikal dinaiki dua lelaki mengikuti dari belakang dan menahan kami ketika memasuki stesen minyak itu.

“Tidak lama kemudian sekumpulan lelaki tiba dan mereka menerpa ke arah saya. Apabila mempertahankan diri, salah seorang lelaki berkenaan menghayun topi keledar ke kepala saya.

“Dua kali kepala saya dilibas. Mujur libasan pertama saya berjaya tahan, tetapi libasan kedua terkena penutup topi keledar yang dipakai hingga mencederakan dahi.

“Libasan kuat itu mengakibatkan dahi saya koyak dan darah keluar dengan banyak,” katanya.

Menurutnya, dia yang menahan kesakitan turut melihat rakannya dipukul sebelum kumpulan lelaki berkenaan diredakan orang ramai.

Dia bersama rakannya kemudian mendapatkan rawatan di sebuah klinik di Gelang Patah dan menerima empat jahitan di kepala sebelum membuat laporan di Balai Polis Gelang Patah.

Katanya, kejadian mungkin disebabkan insiden motosikalnya melanggar motosikal salah seorang daripada kumpulan lelaki itu di pusat pemeriksaan kastam Singapura, Isnin lalu.

“Saya tidak sengaja melanggar sebuah motosikal ketika melalui bonggol dan menyebabkan timbul tidak puas hati sebelum sebelum motosikal saya dihimpit.

“Ia berlarutan di Kastam Malaysia, namun kami tidak mengendahkannya meskipun kumpulan itu sudah menunggu di plaza tol menghala ke Malaysia,” katanya.

Menurutnya, kumpulan itu sekali lagi menunggu mereka ketika pulang dari kerja pada jam 5.30 petang semalam.

“Ketika itu ada motosikal mengekori kami dari belakang dan ekzos motosikal kami dilanggar salah seorang daripada mereka dari arah sama.

“Rakan saya mempersoalkan perbuatan penunggang terbabit dan memintanya berjumpa di Malaysia bagi membincangkan kejadian kerana bimbang diambil tindakan pihak berkuasa Singapura,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Terdahulu insiden yang menimpa Khalid itu tular di Facebook FB yang menyifatkan perbuatan sekumpulan lelaki berkenaan sebagai keterlaluan.

Disiarkan pada: May 1, 2019 @ 1:25pm
d