mutakhir

'Negara kehilangan pakar feqah' [METROTV]

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

“PEMERGIANNYA satu kehilangan besar buat Malaysia. Secara peribadinya, saya sifatkan arwah Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz sebagai negarawan agama,” kata Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Jamil yang ditemui di perkarangan rumah Abu Hassan berkata, dia yang berjiran dengan arwah sering menghidupkan kuliah di Masjid Saidina Hamzah di Taman Batu Muda.

“Setiap Ramadan, saya dan arwah akan bergilir untuk memberikan kuliah 5 minit di Masjid Saidina Hamzah selepas solat Subuh.

“Hubungan kami dan ahli keluarga sangat rapat, tinggal sekampung (di Taman Batu Muda),” katanya.

Katanya, ketika dia bertugas dengan kerajaan sebelum ini, arwah sering mengunjunginya sama ada di pejabat ataupun rumah.

“Arwah akan menasihati saya dengan ilmu dan kepakarannya bagi menyemarakkan Islam di Malaysia. Pemergiannya satu kehilangan buat negara,” katanya yang mengenali arwah sejak di bangku sekolah kerana sering mengikuti ceramahnya.

Katanya, dia mempunyai kenangan manis sepanjang berkongsi pentas forum dengan arwah.

“Orang selalu tertukar antara Datuk Hassan dan abangnya Datuk Harun Din. Jadi, bila orang mula kumpulkan bekas atau botol air untuk didoakan, arwah akan minta saya buat,” katanya.

Bagi Bekas Timbalan Presiden Pas Datuk Dr Nasharuddin Mat Isa pula, arwah adalah individu yang mendorongnya untuk mendalami bahasa Arab.

“Arwah antara individu yang bukan sahaja memberi motivasi sebaliknya juga mencari duit dan tiket penerbangan untuk saya belajar di India dan Jordan,” katanya.

Katanya, dia mula mengikuti ceramah arwah ketika menjadi Imam Besar Masjid Negara.

“Selepas ceramah, saya akan bertemu dengannya dan beliau nasihatkan saya untuk mendalami bahasa Arab.

“Hubungan saya dengannya adalah sebagai seorang guru dan anak murid.

“Bagi saya, arwah adalah orang yang sangat teliti dalam menyampaikan pandangannya, namun tidak ekstrem pada satu pandangan.

“Negara kehilangan seorang pakar dalam bidang feqah,” katanya.

Sementara itu, tukang cuci, Mina Kumari, 38, berkata, Datuk Hassan akan menyapanya setiap kali membersihkan kawasan sekitar rumahnya.

“Saya sudah bersihkan kawasan ini sejak tiga tahun lalu. Datuk Hassan akan sapa saya sebelum jemput masuk ke rumah dan dihidangkan minuman.

“Bila saya dengar dia meninggal dunia, saya sedih dan terus datang ziarahnya,” katanya yang bekerja dengan Alam Flora.

Berita berkaitan

Abu Hassan Din meninggal dunia

Rebah selepas solat Subuh

Pemergianmu ditangisi...

Disiarkan pada: May 1, 2019 @ 1:28pm
d