mutakhir

Nyawa ibu melayang terlanggar lubang

Oleh Mohd Sabran Md Sani

SEORANG ibu tiga anak maut selepas skuter ditunggangnya terbabas akibat melanggar lubang di permukaan jalan di Kangkar Pulai, Johor Bahru, semalam.

Kejadian kira-kira 6 pagi itu, menyebabkan Jamilah Abdullah, 53, cedera di kepala, patah lima tulang rusuk dan rahang sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) selepas hampir 10 jam bertarung nyawa.

Menurut anaknya, Muhamad Aliff Razali, 27, kemalangan berlaku ketika ibunya dalam perjalanan dari rumah di Taman Pulai Indah untuk menjaja makanan dan minuman ringan di sebuah sekolah berdekatan sempena Hari Ko-Kurikulum.

“Skuter ditunggang ibu terlanggar lubang menyebabkan dia terpelanting dan ditemukan orang ramai pada 6.30 pagi dalam keadaan cedera muka tersembam di permukaan jalan raya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, dia yang mendapat maklumat kemalangan itu segera menghubungi ambulans dan Balai Polis Kangkar Pulai berikutan keadaan ibunya yang nazak.

“Ibu dikejarkan ke HSA dan dirawat di ICU tetapi pada 3.45 petang dia disahkan meninggal dunia akibat kecederaan serius di kepala dan badan,” katanya.

Katanya, dia terkilan kerana kes kemalangan di kawasan itu bukan pertama kali berlaku, malah tiada usaha membaiki kerosakan dilakukan pihak berkuasa sedangkan ia berlarutan sejak lebih empat bulan lalu.

“Sudah tiga ke empat bulan jalan ini rosak mengapa mereka tidak membaikinya, malah sebelum ini seorang pekerja Singapura pernah cedera akibat kejadian sama.

“Malangnya selepas kejadian ini berlaku dan meragut nyawa ibu kami, baru kon amaran diletakkan dan jalan rosak dibaiki pada malam itu juga,” katanya.

Muhamad Aliff berkata, keluarganya mahu mengumpul bukti bagi menuntut keadilan atas insiden yang menimpa arwah ibunya kerana kemalangan berlaku akibat kecuaian pihak berkuasa menyelenggara jalan berkenaan.

Disiarkan pada: May 1, 2019 @ 4:53pm
d