mutakhir

Komik Gila-Gila kini di telefon pintar dan tablet [METROTV]

Oleh Mohamad Hussin

PEMINAT majalah komik ikonik Gila-Gila berpeluang mendapatkan bahan itu menerusi aplikasi majalah humor pertama negara dikenali GG Komiks.

Ketua Pegawai Eksekutif GG Digital Enterprise (GG Digital) Syaffeq Syahman Jaafar berkata, sempena lebih empat dekad penerbitan majalah komik berkenaan, Creative Enterprise Sdn Bhd (Creative) melancarkan aplikasi itu melalui telefon pintar dan tablet.

Beliau berkata, aplikasi itu membolehkan peminat komik menikmati karya seni tempatan di hujung jari.

“Aplikasi ini menghimpunkan karya terbaru dan koleksi komik Gila-Gila yang mendapat tempat di hati pelbagai lapisan masyarakat sejak mula diterbitkan 41 tahun lalu.

“Selain itu, ia menjadi platform buat kartunis baru dan lama untuk menghimpunkan karya mereka.

“Ramai kartunis tidak dapat berkongsi hasil kreatif mereka akibat kekurangan platform berikutan perubahan teknologi. “Justeru, aplikasi ini dapat membantu dari segi perkongsian komik antara kartunis dan peminat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran aplikasi majalah Gila-Gila iaitu GG Komiks di Rumah Kartun dan Komik Malaysia, Taman Tasik Perdana di Kuala Lumpur hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan ikon kartunis Malaysia Datuk Mohd Nor Khalid atau Datuk Lat.

Turut hadir pengasas majalah Gila-Gila, Datuk Azman Yusof, Jaafar Taib, Zainal Buang Hussein dan Sariman Mior Hassan.

Syaffeq Syahman berkata, aplikasi GG Komiks adalah hasil usaha sama antara GG Digital dengan Creative yang boleh dimuat turun sama ada menerusi Apps Store atau Google Play.

“Aplikasi ini dibangunkan sejak lapan bulan lalu yang akan menjadi platform kepada semua kartunis lama dan baru termasuk Gila-Gila mengetengahkan karya berkualiti masing-masing.

“Ini adalah usaha untuk menghimpunkan koleksi komik Gila-Gila sejak 1978 dan karya terbahu kerana ia adalah khazanah negara apabila menjadi satu-satunya majalah humor tertua di Asia Tenggara.

“Bagi memastikan ia kekal untuk generasi akan datang, aplikasi ini akan mempunyai empat bahagian iaitu Majalah GG, Koleksi GG, GG Komiks dan GG TV,” katanya.

Sementara itu, Lat berkata, beliau percaya peminat majalah Gila-Gila tidak sabar menunggu bahan berkenaan kerana ia mudah diperolehi menerusi aplikasi yang dibangunkan itu.

“Ia juga dapat memberi peluang kepada peminat berinteraksi terus bersama kartunis tanpa sempadan dan bertukar-tukar fikiran dan pandangan bagi memastikan komik ini terus relevan dan diminati terutama golongan muda,” katanya.

Disiarkan pada: May 1, 2019 @ 5:29pm
d