mutakhir

LTAM akan tambah laluan baru

Oleh Fairuz Zaidan

KERAJAAN Melaka mahu memfokuskan untuk menambah beberapa lagi laluan penerbangan baru menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) yang mula menunjukkan perkembangan positif.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, perancangan itu dapat diterjemahkan menerusi peningkatan bilangan penumpang LTAM melalui empat destinasi penerbangan ditawarkan Malindo Air iaitu Langkawi, Kota Bharu, Pulau Pinang dan Pekanbaru, Indonesia.

“Bermula 1 Julai ini, syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia juga menawarkan laluan penerbangan baru melalui LTAM ke Pulau Pinang.

“Pada masa yang sama, AirAsia dijangka memutuskan untuk memulakan penerbangan dari LTAM ke Kota Kinabalu, Langkawi dan Pekanbaru pada hujung tahun ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ditanya mengenai usaha menaik taraf LTAM dalam usaha merancakkan lagi sektor penerbangan di negeri itu, Mohd Sofi berkata, setakat ini tiada sebarang cadangan ke arah itu memandangkan bilangan kapasiti penumpang menggunakan LTAM adalah kurang dari 10 peratus.

“Setakat ini, kemudahan yang ada mampu menampung pertambahan penumpang sehingga 100 peratus daripada kapasiti LTAM.

“Pengangkutan sambungan di LTAM juga setakat ini mencukupi di mana teksi, bas dan e-hailing mudah didapati,” katanya.

LTAM yang terletak kira-kira lapan kilometer dari pusat bandar raya Melaka dilaporkan mampu menampung sehingga 1.5 juta jumlah penumpang sepanjang tahun.

Disiarkan pada: May 1, 2019 @ 5:51pm
d