mutakhir

UniSZA sedia pusat kanak-kanak autisme

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

UNIVERSITI Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan menyediakan Pusat Psikologi dan Rehabilitasi Autisme (PPRA) bagi membantu kanak-kanak autisme di negeri ini.

Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Fakulti Sains Sosial dan Gunaan UniSZA, Prof Madya Dr Norsuhaily Abu Bakar berkata, PPRA akan dibuka kepada ibu bapa yang mempunyai anak autisme bagi membolehkan anak mereka mendapatkan pelbagai rawatan.

“Kita akan buka pusat berkenaan secepat mungkin dan PPRA itu kelak menyediakan pelbagai keperluan termasuk pendidikan untuk anak autisme.

“Mereka akan diberi rawatan dan bantuan sepatutnya di PPRA, sekali gus memberi kemudahan kepada ibu bapa,” katanya pada Program Semarak April Bulan Autisme Fakulti Sains Sosial dan Gunaan UniSZA di Taman Sinar Harapan Bukit Besar, Kuala Terengganu.

Pada program itu, 20 kanak-kanak autisme diraikan 22 penuntut Fakulti Sains Sosial dan Gunaan UniSZA.

Dr Norsuhaily berkata, kesedaran masyarakat mengenai autisme masih lagi pada tahap rendah dan pendedahan perlu diberikan supaya masyarakat tahu tindakan perlu diambil.

“Kebanyakan ibu bapa tidak menyedari anak mereka dilahirkan dengan autisme kerana fizikal mereka yang normal dan dilihat tidak mengalami sebarang masalah.

“Biasanya pada usia tiga tahun ke atas, kanak-kanak yang mengalami autisme dapat dikesan melalui tingkah lakunya berbeza dan kemampuan terhad.

“Jadi program kesedaran mengenai autisme perlu diperluaskan di semua peringkat supaya kanak-kanak yang mengalami masalah ini dapat dikesan dari peringkat awal,” katanya.

Disiarkan pada: May 1, 2019 @ 9:21pm
d