mutakhir

Percaya `bomoh', peniaga rugi RM192,000

Oleh BERNAMA

SEORANG peniaga kerugian RM192,000, gara-gara mempercayai ‘bomoh’ yang mendakwa mampu menghalau hantu di kediaman milik peniaga berkenaan di Kuching.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, mangsa berusia 55 tahun dari Padawan terserempak dengan tiga perempuan yang tidak dikenali memberitahu yang mereka sedang mencari daun untuk mengubati penyakit kulit anak seorang daripada mereka.

“Kemudiannya suspek mengatakan rumah yang didiami mangsa di Jalan Stephen Yong mempunyai hantu sejak sembilan tahun lalu dan akan membantu mangsa melakukan upacara sembahyang dengan syarat mangsa perlu mengeluarkan kesemua wang simpanan dan menyerahkan kepada mereka terlebih dahulu.

“Pada hari yang sama, mangsa yang diiringi seorang daripada suspek mengeluarkan wang simpanan berjumlah RM180,000 di sebuah bank di Batu 3, Kuching dan menyerahkan pelbagai barangan kemas miliknya kepada suspek di tempat letak kereta di MJC Batu Kawa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mustafa berkata, suspek kemudiannya menyerahkan satu bungkusan dikatakan berisi wang dan barangan kemas milik mangsa tetapi menetapkan syarat ia hanya boleh dibuka selepas seminggu.

Menurutnya, elepas seminggu mangsa menyedari ditipu apabila mendapati hanya terdapat dua botol air mineral dan empat kotak air soya dalam bungkusan terbabit.

Dalam satu kes berasingan, seorang suri rumah berusia 68 tahun hilang RM100,000 selepas terpedaya dengan tabib Cina yang mendakwa ahli keluarga mangsa akan ditimpa bencana dan memaklumkan dia bersedia membantu mangsa melakukan upacara sembahyang membuang sial.

“Suspek mengarahkan mangsa balik ke rumah untuk mengambil wang tunai dan barangan kemas dan turut mengarahkan mangsa mengeluarkan wang simpanan di dalam akaun untuk diserahkan kepada mereka.

“Pada hari yang sama, mangsa menyerahkan wang tunai dan pelbagai barangan kemas keseluruhannya bernilai RM100,000,” katanya.

Menurut Mustafa, tabib berkenaan menyerahkan kembali bungkusan plastik hitam dan meminta mangsa menyimpan bungkusan plastik itu di dalam begnya dan hanya boleh buka bungkusan plastik itu selepas 52 hari.

“Mangsa menyedari ditipu selepas membuka bungkusan plastik itu setiba di rumahnya dan mendapati hanya terdapat empat botol air mineral dan pasir yang dibalut dalam surat khabar lama,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika disabitkan kesalahan.

Disiarkan pada: May 1, 2019 @ 10:02pm
d