mutakhir

Lari tinggal kekasih

Oleh Mohd Sabran Md Sani

SANGGUP gadai nyawa terjun dari bangunan tiga tingkat. Itu aksi nekad seorang lelaki dalam usaha melarikan diri sebaik sahaja hotel murah yang dihuni diserbu penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), malam kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Tosrin Jarvanthi berkata,kejadian jam 11.30 malam itu berlaku ketika hotel dihuni lelaki berkenaan bersama kekasihnya diserbu anggota Operasi Banteras Maksiat Sempena Cuti Umum Hari Buruh.

“Pada mulanya anggota penguat kuasa mengetuk pintu bilik bagi melakukan pemeriksaan sebelum dibuka seorang wanita.

“Pemeriksaan di bilik air menemui kesan bengkok pada besi tingkap di tandas bilik berkenaan. Suspek berjaya melarikan diri dengan terjun dari tingkat tiga,” katanya pada sidang media di pejabat Bahagian Penguatkuasaan Syariah JAINJ, pagi semalam.

Menurutnya, pihaknya percaya lelaki itu panik dan ketakutan selepas menyedari hotel berkenaan diserbu menyebabkannya nekad terjun dari bangunan berkenaan.

“Kita tidak dapat pastikan keadaan lelaki itu kecuali dia sanggup meninggalkan pasangannya berseorangan di dalam bilik hotel.

“Wanita itu kemudian diberikan nasihat supaya tidak mengulangi perbuatannya lagi,” katanya.

Menurutnya, operasi diketuai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Syariah JAINJ, Halid Sono yang menahan lima pasangan berusia 18 hingga 43 tahun kerana disyaki berkhalwat di hotel bajet di sini.

Operasi Banteras Maksiat Sempena Cuti Umum Hari Pekerja itu disertai 20 penguat kuasa agama (PPA) JAINJ dan Pejabat Kadi Daerah Johor Bahru yang melakukan pemeriksaan ke atas lima hotel bajet di Taman Perling dan Danga Bay bermula jam 10 malam.

Tosrin berkata, dalam serbuan berasingan, seorang ibu tunggal berusia 43 tahun ditangkap khalwat bersama pasangannya berusia 31 tahun di hotel bajet di Danga Bay.

Katanya, ibu kepada dua anak dan pasangannya mengaku suami isteri sebelum menukar pengakuan sebaik disoal penguat kuasa yang menjalankan siasatan.

“Ketika siasatan dijalankan, wanita terbabit mendakwa baru kematian suami manakala pasangannya bujang.

“Mulanya lelaki itu memberikan alasan mahu mencari ubat kerana pasangannya sakit perut, namun helahnya berjaya dikesan penguat kuasa sebelum ditahan,” katanya.

Menurutnya, operasi dijalankan bertujuan membanteras maksiat serta aktiviti tidak bermoral.

“Selaku Pengerusi Jawatan Kuasa Agama negeri, saya ambil berat perkara ini dan yakin jika tiada usaha penguatkuasaan, ia akan menjadi barah dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Disiarkan pada: May 2, 2019 @ 5:00am
d