mutakhir

Kontrak Abdul Hamid Bador dua tahun

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

DATUK Seri Abdul Hamid Bador dilantik sebagai Ketua Polis Negara secara kontrak selepas bersara bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 4 Mei 2019 hingga 3 Mei 2021.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pelantikan Abdul Hamid dibuat berdasarkan pengalaman luasnya dalam bidang kepolisan.

“Seperti yang termaktub di bawah Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis telah memperkenankan pelantikan secara kontrak selepas bersara Abdul Hamid sebagai Ketua Polis Negara.

“Beliau dilantik bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 4 Mei 2019 hingga 3 Mei 2021,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, Abdul Hamid mempunyai kompetensi dan daya kepimpinan yang tinggi bagi meneruskan kesinambungan dan tanggungjawab menerajui Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Sepanjang perkhidmatannya dalam PDRM, beliau (Abdul Hamid) memegang pelbagai jawatan di peringkat daerah, negeri dan Ibu Pejabat Bukit Aman.

“Antara jawatan yang pernah disandang beliau ialah Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Ketua Cawangan Khas Negeri, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Inteligen Luar (E3), Bahagian Ancaman Ekstremis Luar, Timbalan Pengarah Cawangan Khas 1 dan Pengarah Cawangan Khas sejak 23 Mei 2018,” katanya.

Muhyiddin berkata, bagi pihak kerajaan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dirakamkan kepada Tan Sri Mohamad Fuzi Harun atas segala sumbangan dan khidmat bakti yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai Ketua Polis Negara sejak 2017.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan Abdul Hamid dilantik sebagai Ketua Polis Negara Baharu bagi menggantikan Mohamad Fuzi.

Mohamad Fuzi dilantik sebagai Ketua Polis Negara menggantikan Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 4 September 2017 dan akan bersara wajib esok.

Abdul Hamid menjadi perhatian pada 2015 apabila membuat pendedahan mengenai pihak tertentu yang menyembunyikan saksi utama dalam siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), selain mendesak siasatan terus ketika menjawat jawatan Timbalan Pengarah Cawangan Khas (SB) Bukit Aman.

Beliau yang hampir 40 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) pernah dianugerahkan Bintang Bhayankara Nararya, bintang kepahlawanan tertinggi daripada Kerajaan Indonesia selepas membantu kerajaan dan pihak berkuasa republik itu melumpuhkan kegiatan keganasan Jemaah Islamiah (JI) dan elemen pengganas Daish.

Disiarkan pada: May 2, 2019 @ 12:34pm
d