mutakhir

Azahar bakal Ketua Hakim Negara?

Oleh Hairulazim Mahmud

HAKIM Mahkamah Persekutuan Tan Sri Azahar Mohamed adalah hakim paling kanan dalam hierarki badan kehakiman negara pada ketika ini.

Berdasarkan amalan, pelantikan Ketua Hakim Negara adalah mengikut kekananan hakim.

Azahar dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 12 September 2014.

Walaupun seorang lagi Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ramly Ali adalah lebih kanan berbanding Azahar, namun beliau akan bersara wajib Ogos ini sekali gus mengenepikannya sebagai calon untuk mengisi jawatan itu.

Jawatan nombor satu badan kehakiman negara itu kosong berikutan persaraan Tan Sri Richard Malanjum pada 12 April lalu.

Selepas beberapa minggu kosong, kelmarin, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Ketua Hakim Negara yang baharu akan diumumkan hujung minggu ini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan masih menunggu kelulusan daripada Majlis Raja-Raja berhubung pelantikan berkenaan.

Sebelum ini terdapat ura-ura bahawa Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Idrus Harun yang juga abang kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun akan mengisi jawatan itu.

Menurut sebuah portal, abang sulung mereka, Mahadir pernah bertugas sebagai penasihat undang-undang kepada Dr Mahathir semasa memegang jawatan sebagai Menteri Perdagangan dan Industri.

Bagaimanapun kebarangkalian pelantikan Idrus pasti mahu dielakkan kerajaan kerana tidak mahu menganggap cuba menguasai badan kehakiman melalui amalan kronisme.

Selain itu, terdapat juga juga cakap-cakap yang menyebut bakal Ketua Hakim Negara adalah seorang wanita.

Sekiranya benar, negara dan badan kehakiman akan mencatat sejarah buat kali kedua kerana jawatan itu selama ini hanya dipegang oleh lelaki.

Namun calon paling layak iaitu Hakim Besar Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim yang kini adalah ‘ketiga’ dalam badan kehakiman bakal bersara wajib November ini.

Dua lagi individu yang bakal mengosongkan kedudukan masing-masing kerana bersara wajib adalah ‘orang nombor dua’, Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Ahmad Maarop dan ‘nombor empat’, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Seri David Wong Dak Wah.

Ini sekali gus menjadikan terdapat empat kekosongan jawatan tertinggi badan kehakiman yang perlu diisi segera.

Disiarkan pada: May 2, 2019 @ 2:05pm
d