mutakhir

Dia muncul lagi

Oleh Mary Victoria Dass

SELEPAS ditahan polis dan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 16 April lalu, seorang pengemis yang mendesak meminta wang daripada orang ramai kembali melakukan aktiviti itu di Bandar Baru Uda, Johor Bahru, hari ini.

Seorang penduduk, Mariani Abdullah, 36, berkata dia dan rakannya terkejut apabila terserempak dengan wanita berusia 40-an itu.

Menurutnya, sebelum ini dia dan beberapa rakan juga pernah menjadi mangsa wanita itu menghalang kenderaan dinaiki dan meminta wang.

“Setahu saya dia sudah ditahan polis, namun hari ini dia muncul kembali dan kembali menjalankan aktiviti meminta wang daripada orang ramai.

“Sekiranya wanita berkenaan bermasalah mental dan gagal dipantau keluarga, kami berharap dia dirujuk bagi mendapatkan rawatan perubatan bersesuaian.

“Perbuatannya menjejaskan keselesaan ramai dan membahayakan dirinya,” katanya ditemui hari ini.

Sementara itu, Pegawai JKM Johor Bahru, Normawarni Mahat berkata, ketika diselamatkan kira-kira tiga minggu lalu, keluarga memberi amaran keras kepada suami wanita itu.

Menurutnya, wanita berkenaan bermasalah mental dan pihaknya menasihati keluarga supaya memantau pergerakannya serta mengelakkan dia mengulangi perbuatan meminta wang.

“Kami akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada 16 April lalu iaitu selepas hampir seminggu menjalankan aktiviti meminta wang dengan mendesak orang ramai, wanita berkenaan ditahan pihak berkuasa.

Wanita berkenaan dilihat berpura-pura pengsan ketika sepasukan anggota polis menghampirinya.

Pada 12 April lalu, Harian Metro mendedahkan aktiviti seorang pengemis menimbulkan gangguan serta menjejaskan keselesaan orang ramai berhampiran kawasan bangunan rumah kedai di Jalan Padi 1, Bandar Baru Uda, Tampoi.

Beberapa penduduk menjadi mangsa wanita berkenaan kerana terpaksa menyerahkan sejumlah wang bagi mengelakkan wanita berkenaan menghalang kenderaannya daripada memasuki kawasan parkir berbayar itu.

Disiarkan pada: May 2, 2019 @ 3:06pm
d