mutakhir

'Wanted rupanya'

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

PENGANGGUR melarikan RM800 selepas memecah tabung sebuah surau di Lunas, Kulim, kelmarin ditahan polis semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Safuan Md Noor berkata, ahli kariah surau menyedari kejadian pada 11.40 malam apabila mendapati kunci tabung dipotong.

Menurutnya, ahli kariah berkenaan kemudian melakukan pemeriksaan lanjut dan mendapati tingkap bahagian tepi surau dipotong.

“Ahli kariah masjid kemudian memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) yang merakam gelagat suspek berusia 59 tahun itu.

“Dia kemudian tampil membuat laporan polis, susulan itu kami menahan suspek di depan sebuah surau di Lunas pada 9 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Safuan berkata, suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Lunas untuk tindakan selanjutnya.

“Semakan mendapati suspek memiliki 21 kes rekod jenayah lampau membabitkan keganasan rumah tangga, curi dan pecah bangunan.

“Sementara itu siasatan juga mendapati suspek dikehendaki bersabit kes penipuan di Seremban, Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata, suspek direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

“Saya juga menasihati rumah-rumah ibadat supaya menyediakan CCTV yang diletakkan di tempat strategik bagi keselamatan di kawasan terbabit,” katanya.

Disiarkan pada: May 2, 2019 @ 3:18pm
d