mutakhir

[UPDATE] Kerugian tipu pakej umrah RM729,000

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

POLIS Daerah Nilai menerima 15 laporan membabitkan kerugian RM729,000 berhubung kes penipuan pakej umrah didalangi wanita dipercayai bergelar Datuk.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Mohd Noor Marzukee Besar berkata, berdasarkan laporan diterima pihaknya, setiap mangsa mendaftar untuk menyertai pakej itu dengan bayaran RM1,500 sebulan.

“Antara laporan diterima adalah membabitkan seorang wanita yang menyerahkan wang RM12,000 membabitkan 12 peserta melalui ejen dilantik sebuah syarikat pelancongan yang didakwa milik suspek.

“Suspek menjanjikan semua mangsa akan menunaikan umrah pada November dan Disember tahun lalu namun penerbangan itu didakwa dibatalkan saat akhir,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Noor berkata, sehingga hari ini, mangsa masih belum menunaikan umrah seperti dijanjikan suspek.

“Apabila mangsa bertanyakan perkara itu kepada suspek melalui ejen, pihak terbabit memaklumkan wanita berkenaan memberikan pelbagai alasan menyebabkan mangsa mengesyaki mereka ditipu sebelum membuat laporan polis.

“Kami kini giat memburu suspek wanita itu bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan 52 individu tampil membuat aduan kepada Ikatan Rakyat Insan Muslimin Malaysia (IRIMM) selepas mendakwa ditipu wanita berkenaan membabitkan kerugian RM78,000.

Berita berkaitan

'Datuk pulangkan wang kami'

Disiarkan pada: May 2, 2019 @ 4:37pm
d