mutakhir

'Mi segera punya pasal'

Oleh Sarah Zulkifli

MARAH kerana adiknya terlupa memasak mi segera, seorang lelaki bertindak memecahkan akuarium ikan milik bapanya didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini.

Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir, menjatuhkan hukuman itu terhadap A Kishok, 29, selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara empat bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan khianat dengan memecahkan akuarium milik P Arasu, di sebuah rumah di Taman Perindustrian Puchong, 8 malam, 25 April lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah meringankan hukuman kerana dia sedang mencari kerja.

Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid, memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal kepada tertuduh.

Disiarkan pada: May 2, 2019 @ 4:46pm
d